comscore
Tumpuan :
Nasional

Dua mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar, diselamatkan

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim

KUALA LUMPUR : Penderitaan dua pemuda rakyat Malaysia yang berada di Myanmar selama tiga bulan selepas diperdaya sindiket pemerdagangan manusia yang menawarkan pekerjaan, bakal berakhir apabila dibawa pulang ke tanah air dalam masa terdekat.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim, berkata buat masa ini Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok sedang menguruskan dokumen perjalanan mereka untuk dibawa keluar dari Thailand.

Beliau berkata, dua mangsa berusia 19 tahun dan 20-an itu dapat diselamatkan atas keprihatinan pelbagai pihak selepas kisah mereka disiarkan, malah rayuan ibu mereka meminta bantuan pelbagai pihak termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini tular di media sosial.

“Pada Oktober lalu, mangsa yang berasal dari Johor ditipu rakan yang menawarkan peluang pekerjaan di Singapura dengan gaji lumayan.

“Namun, setibanya di Lapangan Terbang Changi Singapura, mangsa dimaklumkan dokumen pekerjaan mereka masih diuruskan rakan terbabit.

“Susulan itu, kononnya sementara menunggu urusan dokumen di Singapura selesai, mereka dibawa ke Bangkok, Thailand, namun setibanya di Bangkok, pasport mereka dirampas dan kemudian dibawa ke Mae Sot berhampiran sempadan Thailand-Myanmar,” katanya.

Hishamuddin berkata, mangsa kemudian diseludup melalui jalan tikus, seterusnya ditempatkan di lokasi dinamakan KK Garden Myanmar, sebelum dipaksa bekerja menjadi scammer (penipu) secara dalam talian.

Beliau berkata, selepas kisah mangsa tular di media sosial, pelbagai pihak berganding bahu menyelamatkan mereka dan berusaha membawa pulang ke tanah air.

“Mungkin atas faktor tekanan pelbagai pihak, dua lelaki terbabit dibebaskan sindiket penipuan itu. “Mereka kemudian diletakkan di Mae Sot di sempadan Thailand dan MHO meminta bantuan kedutaan kita di sana serta individu perseorangan mengambil dua mangsa terbabit ke Balai Polis Mae Sot untuk diambil keterangan.

“Selesai keterangan diambil, mereka dihantar ke Kedutaan Malaysia untuk pengurusan dokumen keluar balik Malaysia.

“Ini kerana mereka tidak mempunyai dokumen lengkap untuk melakukan perjalanan keluar dari Thailand,” katanya.

Loading...
Terkini