comscore
Tumpuan :
Nasional

Dua maut terkena renjatan elektrik ketika baiki lampu

PAPAR: Dua lelaki maut, manakala seorang lagi terselamat selepas terkena renjatan elektrik ketika membaiki lampu jalan di Apartment Bukit Melinsung, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 8 pagi itu, dua mangsa maut berusia 54 dan 61 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.25 pagi.

Katanya, sepasukan 11 anggota dan pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) yang ke lokasi kejadian bertindak mengeluarkan mangsa selepas bekalan elektrik diputuskan.

“Mengikut laporan, ketiga-tiga mangsa lelaki terkena renjatan elektrik ketika sedang membaiki lampu jalan.

“Pasukan bomba terus bertindak mengeluarkan mangsa selepas bekalan elektrik diputuskan oleh pihak Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Pasukan bomba melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 9.51 pagi,” katanya.

Loading...
Terkini