comscore
Tumpuan :
Nasional

Dua maut terkena renjatan elektrik, ketika pasang kabel gentian optik

Foto tular

KOTA MARUDU: Dua lelaki maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika menjalankan kerja-kerja memasang kabel gentian optik talian sebuah syarikat telekomunikasi di Jalan Marak Parak, di sini, kelmarin.

Mangsa Abi’rafhdi Affendy, 20, dan Khomeni Maulana, 32, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superitendan Zairolnizal Ishak berkata, hasil siasatan mendapati mangsa bersama lapan pekerja kontrak mengangkat tiang untuk ditanam bagi memasang kabel gentian optik talian sebuah syarikat telekomunikasi, jam 7.30 pagi.

“Ketika pekerja menaikkan tiang berkenaan, terdapat kabel elektrik yang terletak hampir dengan tiang yang dinaikkan di tempat kejadian.

“Tiang yang dinaikkan itu terkena dengan kabel elektrik yang mempunyai arus elektrik mengalir menyebabkan beberapa pekerja sempat untuk melepaskan tiang dan mengalami kecederaan melecur di bahagian tangan,” katanya.

Beliau berkata, dua lagi pekerja bagaimanapun tidak sempat melepaskan tiang terbabit sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat renjatan elektrik yang tinggi.

“Orang awam yang melihat kejadian ini menggunakan kenderaannya untuk menghantar kedua-dua mangsa ke Hospital Kota Marudu bagi mendapatkan pemeriksaan.

“Doktor bagaimanapun mengesahkan kedua-dua mangsa meninggal dunia sebelum sampai di hospital,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua mangsa bekerja di sebuah syarikat yang terletak di Penampang Kota Kinabalu dan berperanan dalam menjalankan kerja-kerja memasang insfrastruktur kabel gentian optik celcom timur (Sabah).

“Pemeriksaan fizikal oleh pegawai perubatan bertugas mendapati terdapat kesan renjatan elektrik pada tubuh mangsa.

“Tiada kecederaan lain yang mengaitkan dengan sebarang unsur jenayah manakala hasil bedah siasat mengesahkan kedua-dua simati mengalami kecederaan akibat terkena renjatan elektrik.

“Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR),” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini