comscore
Tumpuan :
Nasional

Dua mukim terjejas akibat banjir di Sungai Petani

Oleh: Kumaran Rajamoney

SUNGAI PETANI: Beberapa kawasan di dua mukim di daerah ini dinaiki air akibat banjir kilat susulan hujan lebat hari ini.

Lokasi terjejas adalah Kampung Baru 5, Mukim Sidam Kiri manakala Mukim Sungai Petani membabitkan Kampung Haji Wahab.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Muda, Kapten (PA) Azahar Ahmad berkata banjir bermula pagi tadi dan dikategorikan sebagai banjir kilat dengan kawasan yang terjejas berkeluasan sekitar 1.5 kilometer radius.

“Sejumlah enam keluarga dilaporkan terjejas akibat banjir kilat setakat ini. Bancian sedang dijalankan mengenai rumah yang terjejas dan jumlah mangsa sebenar.”

Katanya, kejadian berpunca akibat limpahan air secara mengejut dan berlebihan serta telah menyebabkan kerosakan harta benda.

Paras kedalaman air banjir direkodkan di antara 0.1 hingga 0.3 meter.

“Angkatan Pertahanan Awam (APM) telah menasihati mangsa berpindah ke pusat penempatan sementara (PPS) yang berdekatan jika keadaan semakin buruk,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini