comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Dua pegawai bank antara dicekup, jual beli akaun bank dan kad ATM

 

Oleh: Nurul Amalina Zainudin

SHAH ALAM: Dua pegawai sebuah bank tempatan antara 16 yang ditahan, dipercayai terbabit dalam sindiket jual beli akaun bank dan pengedaran kad mesin juruwang automatik (ATM) bagi tujuan penipuan, yang aktif sejak enam bulan lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan mendapati, kedua-dua suspek yang baru bekerja kurang setahun, telah mendaftar 40 akaun dan lima daripadanya digunakan untuk dijual kepada sindiket penipuan, sejak awal tahun.

Ia melibatkan 15 kes dengan anggaran kerugian RM2.3 juta.

“Mereka mencari pelanggan atau rekrut individu untuk buka akaun dan individu ini akan dapat bayaran RM500 hingga RM1,500, kemudian akaun bank bersama kad ATM ini disewakan kepada sindiket penipuan online dengan bayaran sehingga RM8,000.

“Sindiket juga bawa individu-individu (pemilik akaun) ini untuk mendaftarkan syarikat di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), jadi kalau dia buka akaun dan daftar di SSM, bayarannya lebih tinggi,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Selangor, pagi tadi.

Ujarnya, serbuan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Selangor bersama Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Gombak pada 20 hingga 22 Mac di sekitar Lembah Klang.

Seramai 16 individu berusia 20an hingga 30an, termasuk ketua sindiket berusia 31 tahun ditahan.

Hasil semakan turut mendapati ketua sindiket itu mempunyai rekod Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).

Dalam operasi itu, polis merampas 31 unit telefon bimbit, 30 keping kad ATM pelbagai bank, 1 unit printer, 1 unit komputer riba dan 1 fail mengandungi pelbagai dokumen.

Kes disiasat di bawah 420/120B Kanun Keseksaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini