comscore
Tumpuan :
Nasional

Dua pemandu lori, seorang kelindan didenda seludup kambing 

FOTO: NSTP

SETIU: Dua lelaki masing-masing didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini selepas mengaku bersalah menyeludup 78 ekor kambing tanpa kebenaran Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) pada tahun lalu.

Majistret Ainis Abu Hassan Shaari menjatuhkan hukuman itu terhadap pemandu lori Muhammad Hafihnizam Idris, 30, serta kelindan Mohamad Sharif Abd Rahman, 23.

Mahkamah mengarahkan mereka dihukum penjara 10 bulan jika gagal membayar denda, selain 78 ekor kambing jantan bernilai RM22,951.20 itu dilucutkan hak dan menjadi hasil kerajaan.

Mereka didakwa memindahkan haiwan dari Thailand yang dimasukkan ke dalam guni menggunakan lori tanpa Perakuan Kebenaran Pindah dan Perakuan Kesihatan Veterinar daripada Pengarah JPV Terengganu atau pegawai yang diberi kuasa olehnya.

Kesalahan didakwa dilakukan di tepi jalan di Kampung Penarik, di sini pada 7.50 malam, 13 Disember tahun lalu.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut perenggan 4 (1) (c) Perintah Menteri Besar bagi Kawalan Penyakit Kuku dan Mulut dan Hawar Berdarah Negeri Terengganu 2023, yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda maksimum RM15,000 mengikut subseksyen 36 (7) akta sama.

Sementara itu, dalam prosiding berasingan seorang pemandu lori, Mohd Farhan Ab Rahim, 36, didenda RM8,000 atau penjara lapan bulan oleh mahkamah sama setelah mengaku bersalah atas kesalahan serupa melibatkan 49 ekor kambing betina bernilai RM13,160.

Semua kambing itu  menjadi hasil kerajaan setelah dilucutkan hak oleh mahkamah.

Mohd Farhan didakwa memindahkan semua kambing dari negara itu di tepi Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu berhadapan Mahkamah Setiu pada 8.45 malam, 12 Julai tahun lalu.

Kedua-dua prosiding dikendalikan Pegawai Pendakwa JPV Terengganu, Mohd Shahihan Mohd Tahar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Kes itu terbongkar hasil risikan JPV Terengganu susulan aduan penjualan kambing murah atau ’kambing viral’ yang dibawa masuk ke Malaysia secara haram.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini