comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Dua pemuda maut, kereta bertembung lori

FOTO: JBPM

TAWAU: Dua pemuda maut selepas kereta dinaiki bertembung dengan sebuah lori di Batu 22, Jalan Apas, dekat sini, awal pagi tadi.

Dalam nahas jam 5.50 pagi itu, mangsa Norman Norjan, 19, yang memandu kereta Perodua Viva, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Jabatan Kecemasan Hospital Tawau, manakala rakannya Muhammad Sahrul Isa, 20, maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kereta dinaiki mangsa dari arah Semporna menuju ke pusat bandar di sini.

“Apabila tiba di tempat kejadian, disyaki pemandu kereta hilang kawalan lalu tergelongsor sejauh 40 meter di atas pembahagi jalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan lori.

FOTO: JBPM

“Akibat kemalangan, kereta mengalami kerosakan teruk dan lori remuk di bahagian hadapan manakala pemandunya hanya cedera ringan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, sepasukan sembilan anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan jam 5.57 pagi sebelum tiba di lokasi setengah jam kemudian.

“Dua mangsa tersepit di dalam kereta Perodua Viva berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dan diserahkan kepada pihak ambulans sebelum operasi ditamatkan pada jam 6.53 pagi,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini