comscore
Tumpuan :
Nasional

Dua penuntut UiTM raih pencapaian terbaik ACCA

SHAH ALAM: Dua penuntut Fakulti Perakaunan Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengharumkan nama negara apabila meraih tempat kedua di dunia dalam peperiksaan The Association of Chartered Certified Accountants (ACCA).

Dua pelajar berkenaan adalah Nur Ilhan Nurina Mohd Oslan dan Muhammad Fawwaz Mohammad Masrin, masing-masing dari kampus Shah Alam dan Tapah, Perak.

UiTM dalam kenyataannya hari ini berkata Nur Ilhan mendapat tempat pertama di Malaysia dan kedua dunia bagi peperiksaan Audit and Assurance (AA) manakala Muhammad Fawwaz memperoleh tempat pertama dan kedua dunia bagi Top ACCA FIA Prize Winner bagi kertas Management Information (MA1).

“Kejayaan konsisten pelajar ini memberikan impak positif, motivasi dan inspirasi kepada rakan seperjuangan, keluarga, fakulti, UiTM dan rakyat Malaysia secara amnya.

“Sebagai fakulti yang terbesar di Malaysia dalam bidang perakaunan, Fakulti Perakaunan mendukung tanggungjawab yang signifikan, setiap tahun fakulti melahirkan lebih kurang 50 peratus graduan perakaunan dalam kalangan semua Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) negara,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Fakulti Perakaunan adalah salah satu fakulti terawal di UiTM yang bermatlamat untuk menghasilkan lebih ramai akauntan bertauliah.

Katanya, kini fakulti itu mengorak langkah bagi mencapai aspirasi kerajaan untuk meningkatkan jumlah graduan profesional dalam bidang perakaunan negara kepada 60,000 orang menjelang 2030.

“Sehubungan itu, pihak fakulti melebarluaskan peluang pengajian profesional perakaunan bagi pelajar lepasan SPM di kedua-dua kampus cawangan; Tapah dan Dungun, selain hanya di Shah Alam sahaja.

“Fakulti Perakaunan sentiasa berusaha menghasilkan graduan perakaunan yang market-ready dengan penawaran program akademik yang berkualiti dan diiktiraf oleh pelbagai badan profesional dalam dan luar negara termasuk Malaysian Institute of Certified Public Accountants (MICPA), ACCA, The Chartered Institute of Management Accountants (CIMA), Certified Public Accountants (CPA, Australia) dan Institute of Chartered Accountants in England and Wales (ICAEW),” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini