comscore
Tumpuan :
Nasional

Dua penuntut USIM muncul Johan tilawah al-Quran antara IPT

KUALA NERUS: Dua penuntut Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dinobatkan johan Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran antara Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) 2023, di sini hari ini.

Nadhrah Ahmad Marzuki, 23, diumumkan johan tilawah kategori wanita, manakala Muhammad A’Ammar Mukhlis Abdul Mohsin, 24, bagi kategori lelaki.

Penuntut Universiti Kuala Lumpur Royal College of Medicine Perak (UniKL RCMP), Arwa Khairuddin muncul naib johan wanita, manakala penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Masfira Hilman di tempat ketiga.

Naib johan kategori lelaki dimenangi penuntut Universiti Malaysia Sarawak (UMS), Muhammad Amnan Muhammad Sani, manakala ketiga diraih penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Wan Muhammad Irsyad Wan Zulkifli.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang juga Ahli Lembaga Pengarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Datuk Dr Sirajuddin’ Suhaimee, di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, di sini hari ini.

Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Fadzli Adam, berkata seramai 159 peserta dari 33 IPT seluruh negara menyertai majlis tilawah itu.

Katanya, program ini bertujuan menjadikan UniSZA sebagai platform menghidupkan budaya tilawah al-Quran dan hafazan dalam kalangan mahasiswa dan masyarakat.

“Selain itu, ia bertujuan melahirkan generasi huffaz yang cemerlang dan berwibawa dalam kalangan mahasiswa UniSZA, khususnya dan masyarakat Islam di negara ini.

“Ia juga sebagai platform untuk mencungkil bakat baharu dan mencari pelapis qari dan qariah yang boleh diketengahkan serta memenuhi undangan di peringkat antarabangsa,” katanya.

Loading...
Terkini