comscore
Tumpuan :
Nasional

Dua polis trafik didakwa minta suapan

SHAH ALAM: Dua anggota polis trafik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Nazmi Baharum, 33, dan Mohammad AlQayyum Hasim, 30  yang bertugas sebagai anggota polis trafik di Cawangan Penguatkuasaan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Bukit Aman, Kuala Lumpur didakwa dengan niat bersama meminta suapan wang tunai RM3,000 dan menerima RM900 daripada seorang lelaki berusia 27 tahun.

Ia sebagai dorongan untuk tidak menangkap lelaki berkenaan yang mempunyai tiga waran tangkap atas kesalahan trafik.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara jam 3.30 dan 4 petang masing-masing di bawah jejambat berhampiran Lebuh Raya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK) dan perhentian bas berhampiran stesen minyak di Balakong pada 3 Oktober 2020.

Justeru mereka didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (B) dan 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta  sama.

Jika sabit kesalahan bagi setiap pertuduhan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Hakim Rozilah Salleh mengarahkan kedua-dua tertuduh dijamin RM8,000 setiap seorang dengan syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri ke Pejabat SPRM pada setiap awal bulan.

Sebutan semula kes ditetapkan 13 Julai depan.

Loading...
Terkini