comscore
Tumpuan :
Nasional

Dua premis diserbu, seleweng minyak masak subsidi

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya menumpaskan aktiviti penyelewengan minyak masak bersubsidi dalam dua serbuan berasingan di Rawang, Selangor dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM60,000.

Timbalan Ketua Pengarah Penguat Kuasa (Operasi) KPDN, Shamsul Nizam Khalil berkata, serbuan dilakukan sepasukan anggota Penguat Kuasa KPDN Putrajaya bermula kira-kira jam 6 petang semalam, hasil risikan beberapa hari sebelum operasi dilancarkan.

Jelasnya, lokasi serbuan pertama adalah di sebuah premis tanpa nama di Pusat Perdagangan Sri Pagi Sungai Choh.

“Hasil pemeriksaan mendapati beberapa individu sedang leka melakukan aktiviti memotong bungkusan minyak masak paket 1 kilogram (kg) bersubsidi yang kemudian dipindahkan ke dalam sebuah tangki jenis poly tank.

“Modus operandi sindiket ini adalah dengan membeli minyak masak paket 1kg bersubsidi, kemudian dipindahkan ke dalam sebuah tangki dan dibotolkan semula sebelum dijual mengikut harga terkini pasaran minyak masak bukan bersubsidi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, serbuan kedua dilakukan di sebuah premis disyaki menjalankan aktiviti jual beli minyak masak terpakai yang terletak di Kawasan Perindustrian Anugerah Suria.

Ketika serbuan, beberapa individu sedang leka melakukan aktiviti pemindahan minyak masak ke dalam sebuah lori tangki.

Pemeriksaan lanjut ke atas premis juga menemukan sejumlah minyak masak baharu yang telah siap diproses disyaki akan dijual di pasaran.

“Modus operandi premis adalah berselindung di sebalik aktiviti jual beli minyak masak terpakai dan berurus niaga dengan barang kawalan iaitu minyak masak tanpa kebenaran,” katanya.

Mengulas lanjut, Shamsul Nizam berkata, sebanyak 12,000 kg minyak masak dirampas daripada kedua-dua premis, selain beberapa peralatan yang digunakan seperti pam bermotor, hos penyambung, telefon bimbit dan beberapa dokumen perniagaan lain bagi tujuan siasatan lanjut.

Seramai enam lelaki warga tempatan dan sembilan individu bukan warga tempatan termasuk dua wanita bukan warga tempatan ditahan bagi membantu siasatan.

“Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes ini akan dibuat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenal pasti individu atau syarikat yang terlibat dalam aktiviti ini serta mengenal pasti rantaian pengedaran minyak masak terbabit,” katanya.

Loading...
Terkini