GOMBAK: Dua remaja berdepan detik cemas selepas terperangkap di seberang sungai ketika air pasang di Sungai Gombak, Batu 12 di sini hari ini.
Kejadian berlaku ketika mereka sedang beriadah di kawasan itu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Penguasa Kanan Bomba I, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung insiden itu pada jam 7.16 malam.
Ahmad Muklis berkata kedua-dua mangsa yang terperangkap itu berusia 14 dan 16 tahun.
“Seramai lapan anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, kami dimaklumkan terdapat dua sekawan terperangkap di seberang sungai berkenaan yang paras airnya meningkat tinggi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Operasi menyelamat mengambil masa kira kira sejam dan mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.