comscore
Tumpuan :
Nasional

Dua sahabat maut, motosikal terbabas

Keadaan motosikal selepas terbabit kemalangan di KM4 Jalan Kampung Gaong-Kuala Pueh-Empangan Jenagor dekat Kampung Pauh. FOTO: Ihsan Polis

KUALA BERANG: Dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jenagor maut selepas motosikal ditunggang mereka hilang kawalan dan terbabas di Kilometer 4 Jalan Kampung Gaong-Kuala Pueh-Empangan Jenagor dekat Kampung Pauh, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 4.50 petang itu, pembonceng motosikal Yamaha NVX, Mohd Faris Mohd Zulkilfi, 16, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera pada di kepala dan anggota badan.

Rakannya yang juga penunggang motosikal, Muhamad Darwish Ezariff Mohd Khairul Azuan, 16, pula meninggal dunia di Hospital Hulu Terengganu (HHT) akibat cedera di kepala, dada dan tangan.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Deputi Superintendan Zainul Mujahidin Mat Yudin berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari rumah di Kampung Lerek menghala ke Kuala Berang untuk membeli barang.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggangi mereka hilang kawalan dan terbabas.

“Kejadian itu menyebabkan pembonceng motosikal meninggal dunia di lokasi kejadian. Mayat dibawa ke Unit Forensik HHT untuk bedah siasat.

“Penunggang yang cedera dibawa ke hospital sama namun disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, ” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini