Tumpuan :
Nasional

Dua suspek larikan peti besi bernilai RM1.1 juta ditahan

Barangan yang dirampas selepas menahan dua lelaki dalam kes pecah rumah dan melarikan peti besi di Kampung Paya Rambai, di sini, Rabu lalu. – FOTO: Ihsan PDRM

KOTA BHARU: Polis menahan dua lelaki yang disyaki terbabit dalam kes pecah rumah dan melarikan peti besi berisi mata wang asing, jam tangan berjenama dan barang kemas dianggarkan bernilai RM1.1 juta di Kampung Paya Rambai, di sini, pada Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud, berkata pihaknya menerima aduan daripada mangsa, seorang wanita berusia lingkungan 60-an, yang pulang ke rumah bersama ahli keluarganya dari Sarawak pada hari kejadian.

Berikutan itu, polis menahan dua suspek berusia sekitar 20-an kelmarin, pada jam 6.15 petang dalam dua serbuan di rumah berasingan di kawasan berkenaan.

“Seorang suspek bekerja sebagai mekanik di sebuah bengkel motosikal di Kota Bharu manakala seorang lagi suspek tidak mempunyai pekerjaan tetap,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Rosdi berkata, polis turut merampas sebuah peti besi serta beberapa barang berharga milik mangsa di bengkel berkenaan.

Katanya, hasil semakan mendapati suspek mempunyai beberapa rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dadah.

“Hasil ujian air kencing juga mendapati kedua-dua suspek disahkan positif dadah dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

“Kedua-dua suspek direman selama enam hari bermula semalam bagi membantu siasatan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini