comscore
Tumpuan :
Nasional

Dua tahun diburu, 5 ‘Geng Ninja van’ maut terlibat 50 kes samun

Oleh: Nurul Amalina Zainudin

SHAH ALAM: Lima individu yang maut selepas berbalas tembakan dengan pihak polis di Putra Heights dikenalpasti sebagai ‘Geng Ninja van’, yang aktif menjalankan kegiatan samun di sekitar Klang, Puchong, Bukit Jalil dan Cheras.

Semakan mendapati kumpulan terbabit aktif sejak tahun 2022 dan dipercayai terlibat dalam 50 kes samun di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan sindiket menjadikan pejabat kurier ‘Ninja van’ yang menyimpan peti keselamatan wang tunai sebagai sasaran utama, selain turut menyasarkan kilang-kilang dan rumah.

“Dalam kes tertentu ada yang ditetak sekiranya mangsa cuba melawan, saya boleh katakan kumpulan ini adalah kumpulan yang ganas dan boleh mencederakan mangsa pada bila-bila masa.

“Kita percaya mereka ada buat risikan, ada merekrut ahli lagi, agak sukar untuk polis jejak kumpulan ini sebab itu mereka masih bergiat dari 2022 lagi kerana mereka menggunakan topeng yang menyebabkan sukar mangsa nak kenalpasti,” katanya.

Ujarnya lagi, kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau sekurang-kurangnya tujuh rekod.

Dalam kejadian tengah malam tadi, lima lelaki berusia 30an maut akibat berbalas tembakan dengan pasukan polis.

Kesemua suspek yang menaiki sebuah kenderaan didapati berada dalam keadaan mencurigakan oleh pasukan peroda polis, sebelum bertindak agresif dengan melepaskan tembakan.

Hasil pemeriksaan kenderaan suspek menemukan dua pucuk pistol, parang, serta pelbagai peralatan dipercayai untuk tujuan samun.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini