comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Dua terbunuh, 37 cedera dalam nahas bas persiaran dan treler


RINGKASAN BERITA

Dua maut manakala 37 lagi cedera dalam kemalangan melibatkan bas persiaran dan treler di Jalan Kuantan-Segamat berhampiran simpang tiga Bahau, Rompin jam 1.30 pagi tadi.

Bas berkenaan dalam perjalanan membawa guru dari Sekolah Kebangsaan Jeram Masjid Tanah, Melaka bersama anak mereka ke Terengganu, untuk menghadiri program penanda aras.


ROMPIN: Dua maut manakala 37 lagi cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah bas persiaran dan sebuah treler di Jalan Kuantan-Segamat berhampiran simpang tiga Bahau di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Rompin DSP Nor Azman Yusof berkata kejadian yang berlaku sekitar 1.30 pagi tadi mengakibatkan bas yang membawa 39 penumpang itu temasuk dua pemandu terbalik di cerun jalan.

Beliau berkata, bas berkenaan dalam perjalanan membawa guru dari Sekolah Kebangsaan Jeram Masjid Tanah, Melaka bersama anak mereka ke Terengganu untuk menghadiri program penanda aras.

Nor Azman berkata seorang guru maut di lokasi kejadian manakala pemandu kedua meninggal dunia dalam perjalanan mendapatkan rawatan di hospital.

FOTO: Ihsan JBPM Pahang

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila keadaan gelap di simpang tiga Bahau dan pemandu bas itu telah hilang kawalan dan melanggar sebuah treler yang membawa muatan gelung besi sebelum terbalik di cerun jalan,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Beliau berkata, identiti mangsa yang meninggal dunia sedang dikenal pasti dan mereka yang cedera dibawa ke Hospital Muadzam Shah, Rompin dan Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan untuk menerima rawatan.

Nor Azman meminta saksi kejadian supaya tampil membantu pihaknya menjalankan siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini