comscore
Tumpuan :
Nasional

Dua wanita maut dirempuh lori dalam nahas lima kenderaan

FOTO: Ihsan JBPM Melaka

JASIN: Dua wanita terbunuh selepas kereta dinaiki mereka dirempuh lori dalam nahas lima kenderaan di Jalan Jasin-Merlimau, pagi semalam.

Nahas kira-kira jam 11.50 pagi itu membabitkan dua lori dan tiga kereta.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, siasatan awal mendapati semua kenderaan terbabit berada di laluan sama yang menuruni bukit dan sedikit berselekoh dari arah Jasin menghala ke Merlimau.

Katanya, setibanya di lokasi lori jenis Hino dipandu lelaki berusia 44 tahun cuba memotong kereta Perodua Viva dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Alza, namun gagal lalu cuba memasuki ke laluan asalnya.

“Semasa bergerak masuk, pemandu lori itu gagal mengawal kenderaan lalu bergesel dengan dua kereta terbabit dan melanggar Perodua Myvi yang sedang berhenti.

“Lori terbabit kemudiannya melanggar pula sebuah lagi lori yang turut berhenti ,” katanya dalam kenyataan di sini.

Ahmad Jamil berkata, siasatan juga mendapati sebelum kejadian, empat kenderaan itu sedang berhenti kerana ada proses pembaikan jalan.

Katanya, pelanggaran menyebabkan pemandu Myvi, Masitah Mohamed, 27, dan penumpang Nurul Syakirin Ahmad Mokhtar, 24, tersepit dalam kereta yang remuk.

Katanya, kedua-dua mangsa iaitu kerani kilang dan ahli farmasi berasal dari Tangkak, Johor berjaya dikeluarkan dengan bantuan anggota bomba, namun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di bahagian kepala oleh pegawai perubatan.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Jasin untuk bedah siasat dan seorang daripada lapan penumpang Alza iaitu kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun turut cedera dan dirawat di hospital sama.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini