KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur menahan dua warga asing disyaki cuba memberi rasuah RM1,000 kepada anggota polis membabitkan kesalahan dibawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Kedua-dua suspek lelaki warga Pakistan berusia lingkungan 20-an dan 40-an itu ditahan kira-kira 9 malam tadi, ketika diserahkan oleh pihak PDRM kepada SPRM Kuala Lumpur.
“Suspek utama dipercayai cuba memberi rasuah RM500 kepada anggota polis yang menahannya kerana memandu motosikal tanpa lesen memandu dan no plat tidak lengkap. Kejadian berlaku sewaktu melakukan rondaan cegah jenayah di Lebuhraya Duta – Ulu Kelang (DUKE) kira-kira jam 11.40 pagi semalam.
Manakala suspek kedua pula dipercayai cuba memberi rasuah RM500 kepada anggota polis yang sama bagi melepaskan suspek utama yang merupakan rakannya. Kejadian berlaku di IPD Sentul kira-kira jam 3.30 petang,” menurut sumber.
Sumber memaklumkan perintah reman selama tujuh hari hingga 19 Januari ini ke atas suspek utama dikeluarkan Majistret Noorelynna Hanim Abdul Halim selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, pagi tadi.
Manakala suspek kedua dijangka akan dilepaskan hari ini dengan jaminan SPRM setelah selesai memberikan keterangannya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur Datuk Mohamad Fauzi Husin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.