comscore
Tumpuan :
Nasional

Dua warga asing ditahan seleweng LPG

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Sebuah premis tanpa nama di Green Technology Park, Seremban 2, Negeri Sembilan yang disyaki dijadikan stor haram tempat menyimpan dan mengedar gas petroleum cecair (LPG) diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, serbuan dilakukan pada 4 September lalu oleh sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Putrajaya hasil risikan beberapa hari sebelum operasi dilancarkan.

Menurutnya, ketika serbuan, dua individu warga asing dipercayai pekerja di premis terbabit ditahan bagi membantu siasatan.

“Hasil pemeriksaan ke atas premis terbabit, pasukan serbuan telah menemukan sejumlah LPG di dalam premis itu bersama beberapa peralatan lain yang dipercayai digunakan dalam aktiviti ‘decanting’ iaitu memindahkan gas daripada tong berkapasiti 14 kilogram (kg) bersubsidi kepada tong berkapasiti 50kg untuk kegunaan industri.

“Hasil pemeriksaan lanjut, premis itu juga tidak mempunyai dokumen yang sah di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] untuk menjalankan urus niaga berkaitan barang kawalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, sejumlah 98 unit tong gas pelbagai jenama berkapasiti 14kg dan 50kg, sebuah lori, paip getah penyambung serta beberapa dokumen perniagaan lain disita.

Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM41,531.60.

Datuk Azman berkata, kertas siasatan dibuka dan siasatan lanjut dilakukan di bawah Akta 122 bagi mengenal pasti individu atau syarikat lain yang terlibat dalam aktiviti tersebut serta rantaian pengedaran LPG itu.

Akta 122 memperuntukkan hukuman denda bagi orang perseorangan tidak lebih RM1 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi syarikat pula, sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta.

“Selain itu, syarikat ini juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) [Akta 613].

“Ia bagi kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat pelucutan hak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan berkaitan gas petroleum cecair.

“Jika disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta 613 ini boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 15 tahun dan juga boleh didenda
tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta yang mana yang lebih tinggi,” katanya.

Mengulas lanjut, Azman berkata, KPDN telah melaksanakan OPS TIRIS 3.0 bermula 1 Januari lalu bagi membanteras aktiviti penyelewengan dan ketirisan barang kawalan dan bersubsidi.

Sejak 1 Januari hingga 10 September lalu, sebanyak 30,846 pemeriksaan telah dilakukan di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, 2,083 kes dihasilkan membabitkan jumlah nilai rampasan sebanyak RM80.73 juta dengan 511 individu ditahan.

Sementara itu, bagi tempoh sama, sebanyak 143 kes berkaitan barang kawalan LPG dihasilkan melibatkan nilai rampasan berjumlah RM745,144.70.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini