comscore
Tumpuan :
Nasional

DUN Kelantan bubar lepas musim tengkujuh

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

KOTA BHARU: Kelantan belum memutuskan lagi tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) namun dijangka diputuskan selepas Februari iaitu sebaik tamat musim tengkujuh.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, buat masa kini, pihaknya sedang memerhati perkembangan dan menilai suasana politik negara sementara menunggu keputusan untuk pembubaran DUN.

“Belum ada keputusan dan tak bincang apa-apa lagi cuma kita sedang memerhati perkembangan dan menilai suasana (politik).

“Tahun depan tu walau macam mana sekalipun akan bubarlah cuma bulan belum pasti, mungkin lebih awal dari bulan lima (Mei) sebab sudah terbubar dengan sendiri.

“Saya percaya dengan perkembangan politik, kemungkinan besar bukan hanya Kelantan tapi beberapa negeri lain juga akan bubar DUN lebih awal dari bulan lima, itu jangkaan kita,” katanya kepada pemberita di Kompleks Tarbiah DUN Panchor, di sini, hari ini.

Mohd Amar berkata, pembubaran DUN tidak boleh dijalankan dalam masa terdekat kerana musim tengkujuh masih belum berakhir dan mengikut pengalaman di negeri ini, tempoh banjir berakhir sehingga Februari.

Katanya lagi, faktor perantau yang baru kembali ke negeri luar selepas pulang mengundi baru-baru ini juga perlu diambil kira kerana memerlukan kos serta membebankan mereka.

Ketika ditanya mengenai calon, Mohd Amar berkata, parti PAS akan menampilkan 30 peratus muka baharu seperti kelaziman yang berlaku setiap kali Pilihan Raya Umum (PRU).

“Calon tak bincang lagi cuma biasa pengalaman kita ada perubahan calon yang mana apabila PRU, ada 30 peratus muka baharu dan itu amalan kita sejak dulu,” katanya.

Loading...
Terkini