comscore
Tumpuan :
Nasional

DUN Sarawak lulus RUU anti lompat parti

Foto hiasan

KUCHING : Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) (No.2) 2022 bagi melarang wakil rakyat yang dipilih, melompat parti.

RUU berkenaan yang dibentangkan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63, Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali disokong 77 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Sebelum itu, tiga ADUN mengambil bahagian dalam perbahasan RUU berkenaan iaitu Datuk Seri Huang Tiong Sii (GPS-Repok), Safiee Ahmad (GPS-Daro) dan Violet Yong (DAP-Pending).

Sharifah Hasidah dalam pembentangan RUU itu berkata, pindaan RUU itu adalah langkah progresif dan proaktif kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam mengamalkan serta mewujudkan kerajaan yang stabil bagi rakyat nsgeri ini.

Pindaan itu antara lain menambah Perkara 16B dan membuang klausa (6) dan (7) dalam Perkara 17 yang sedia ada dalam Perlembagaan Negeri Sarawak.

Menurutnya,usaha itu bukan sahaja untuk menghargai dan menghormati mandat rakyat melalui sistem demokrasi malah mampu mengekalkan integriti politik dalam pentadbiran negeri.

“Pindaan RUU ini sememangnya patut dikuatkuasakan terhadap Dewan Undangan Negeri Sarawak bagi memastikan mandat rakyat yang telah diberikan sentiasa dijaga, termasuk integriti kita sebagai wakil rakyat.

“Pelaksanaan RUU ini akan dapat memastikan kestabilan politik serta dapat mengelakkan krisis politik yang tiada berkesudahan daripada berlaku, selain itu penggubalan RUU ini adalah mesej yang jelas kepada semua wakil rakyat yang mendapat mandat rakyat supaya berpegang teguh kepada prinsip parti yang diwakili disamping melindungi kepercayaan tinggi yang telah diberikan oleh rakyat ketika proses pilihan raya,”’katanya.

Cadangan meminda Perkara 16B yang dimasukkan dalam perlembagaan negeri adalah selaras dengan Pindaan Perkara 49A dan Seksyen 8A dalam Jadual ke 8 Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya lagi, beliau yakin penguatkuasaan RUU itu juga akan dapat menghentikan mana-mana wakil rakyat yang suka melompat parti demi memenuhi agenda peribadi mereka tanpa memikirkan kesannya kepada rakyat.

RUU berkenaan selari dengan RUU Anti Lompat Parti yang sebulat suara disokong 209 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat pada 28 Julai lalu dan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 31 Ogos lalu serta berkuatkuasa dengan rasmi pada 5 Oktober lalu. -HARIAN METRO

Loading...
Terkini