KUALA TERENGGANU: Selepas Kemaman, Dungun pula dilanda banjir gelombang kedua menjadikan jumlah mangsa yang dipindahkan seramai 1,153 orang hingga jam 12 tengah hari ini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, sebanyak 307 keluarga dipindahkan ke 15 pusat pemindahan sementara (PPS).
Di Kemaman, 12 PPS dibuka membabitkan Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baru Kerteh, menempatkan 19 mangsa daripada empat keluarga, manakala di Balai JPKK Beris Nenas, seramai 67 mangsa daripada 15 keluarga.
Sementara itu, di balai raya Kampung Gelugor, hanya tiga mangsa daripada satu keluarga dipindahkan ke situ dan di SK Pengkalan Panggon, menempatkan 94 mangsa daripada 26 keluarga.
Selain itu, di SK Kemasik, 353 mangsa daripada 100 keluarga berlindung di PPS berkenaan dan di Dewan Sivik Pengkalan Cicar Bukit Kuang pula menempatkan 149 mangsa daripada 34 keluarga.
Di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Banggol, seramai 137 mangsa daripada 43 keluarga dipindahkan, manakala di balai raya JPKK Meraga Beris, seramai 98 mangsa daripada 24 keluarga.
Sekretariat JPBN negeri berkata, di balai raya Padang Kemunting pula seramai 20 mangsa daripada empat keluarga berada di PPS berkenaan, manakala di Surau Pondok Limau Alam, lima mangsa daripada satu keluarga berada di PPS itu.
Di Masjid Padang Kubu, seramai 58 mangsa daripada 23 keluarga dan di Dewan Orang Ramai Ketengah Dadong pula terdapat tiga mangsa daripada satu keluarga serta di daerah Dungun, tiga PPS dibuka iaitu di Dewan Sivik Paka, menempatkan 91 mangsa daripada 21 keluarga.
Sementara itu, di balai raya Pelandan menempatkan 38 mangsa daripada sembilan keluarga dan balai raya Bemban pula menempatkan dua mangsa daripada satu keluarga.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.