Tumpuan :
Nasional

Dunia kewartawanan negara kehilangan sebutir lagi permata – Fahmi

KUALA LUMPUR: Pemergian wartawan veteran, Allahyarhamah Datuk Rosnah Abd Majid, disifatkan sebagai satu kehilangan buat dunia kewartawanan negara.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, sebagai pemenang pertama Anugerah Kajai pada 1984, arwah sering menjadi rujukan dalam kalangan pemberita muda.

“Dunia kewartawanan kehilangan sebutir lagi permata selepas pemergian wartawan veteran, Datuk Rosnah Abd Majid, hari ini.

“Bagi pihak @komunikasi_gov, takziah saya ucapkan kepada seluruh keluarga Allahyarhamah.

“Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dengan orang-orang beriman,” katanya dalam ciapan melalui platform X, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan pemergian Allahyarhamah Rosnah, 71, yang menghembuskan nafas terakhir pada jam 9.30 pagi tadi, disahkan oleh kakaknya, Mariam.

Mariam dipetik berkata, arwah menghidap penyakit berkaitan buah pinggang dan pernah menjalani pembedahan pemindahan buah pinggang di China pada 2001.

Arwah yang dilahirkan pada 1953 di Sungai Pial, Merbuk, Kedah, adalah lepasan Universiti Malaya (UM) dalam bidang ekonomi.

Rosnah pernah bertugas di syarikat akhbar Utusan Malaysia selama 20 tahun sejak 1977, selain merupakan pemenang pertama Anugerah Kajai pada 1984.

Arwah berpengalaman menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Dawai selepas menewaskan calon mewakili PAS pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-10 pada 1999.

Beliau juga pernah menyandang jawatan Ketua Jawatankuasa Perhubungan Wanita UMNO Kedah bagi penggal 2000/2003, dan dilantik sebagai Profesor Adjung di Fakulti Komunikasi dan Bahasa Moden (FKBM), Universiti Utara Malaysia (UUM), selama setahun pada 2007.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini