comscore
Tumpuan :
Nasional

Duta Romania kagum budaya Malaysia ketika lawat UPSI

Nineta Barbulescu dan Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff (empat dari kanan) bergambar di Bangunan Canselori bersama pegawai kanan UPSI. – FOTO: Ihsan UPSI.

TANJUNG MALIM: Duta Romania ke Malaysia dan Brunei, Nineta Barbulescu yang mengadakan lawatan rasmi ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melahirkan rasa kagum dan teruja terhadap seni dan budaya Malaysia .

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff yang menyambut kunjungan delegasi Kedutaan Romania itu turut berkongsi sejarah penubuhan UPSI serta portfolio menyeluruh berkaitan perkembangan UPSI yang terkini.

Prof Datuk Md Amin berkata UPSI terkenal sebagai institusi yang melahirkan guru untuk memajukan pendidikan rakyat di negara ini.

UPSI, katanya, mempunyai kursus berkaitan seni visual untuk melahirkan guru-guru seni yang kreatif mengajar di sekolah-sekolah seluruh negara.

Nineta Barbulescu dibawa melawat bangunan warisan Sekolah Kebangsaan Tanjong Malim (SKTM). – FOTO: Ihsan UPSI.

Antara intipati perbincangan, Nineta menjemput UPSI menyertai konsortium-konsortium yang ditubuhkan kerajaan Romania berkaitan meta-data, sains, matematik dan lain-lain bidang.

Selain itu, beliau turut menjemput UPSI untuk mewujudkan satu ruang aktiviti kerjasama perkongsian silang budaya yang memfokuskan kebudayaan, fesyen, kesenian, makanan tradisional antara Malaysia dan Romania.

“Seni batik di Malaysia mempunyai persamaan dengan motif seni Romania, “ ujar Nineta.

Katanya, lukisan adalah satu aspek yang boleh dikembangkan sebagai salah satu instrumen perkongsian silang budaya dalam bidang seni halus antara Malaysia dan Romania.

Delegasi Kedutaan Romania turut dibawa melawat Perpustakaan Tuanku Bainun, Galeri Seni dan Muzium Pendidikan yang terletak di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini