comscore
Tumpuan :
Nasional

e-Jamin, sistem elektronik jelaskan wang ikat jamin tertuduh diteruskan

KUALA LUMPUR: Jabatan Perdana Menteri (JPM) meneruskan penggunaan sistem e-Jamin, selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI dan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menggalakkan pendigitalan sistem perkhidmatan kerajaan.

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini menegaskan, keputusan pembatalan sistem itu sebelum ini diambil tanpa sebarang pengetahuan dan perbincangan dengan bahagian itu yang sepatutnya perlu dirujuk dan mengambil kira pandangan daripada semua pihak yang berkaitan.

Sebelum itu, Badan Peguam Malaysia dalam pekelilingnya minggu ini memaklumkan sistem e-Jamin tidak lagi digunakan mulai 20 Mei.

Bermula dari tarikh itu, sistem digital yang diperkenal empat tahun lalu akan digantikan dengan sistem manual seperti sebelumnya, yang menurut peguam mempunyai banyak kelemahan.

Tindakan itu menyebabkan seramai 50 peguam menandatangani memorandum petisyen terhadap JPM berhubung keputusan mengejut mahkamah membatalkan sistem pengurusan ikat jamin elektronik, e-Jamin.

Kumpulan peguam itu mendakwa sistem manual untuk menjelaskan wang ikat jamin tertuduh bermasalah kerana hanya boleh dikembalikan dalam tempoh tujuh hari, berbanding dengan sistem e-Jamin, jumlah wang itu boleh dikembalikan serta-merta selepas selesai kes.

Dalam petisyen itu, kumpulan peguam itu juga menyatakan tiada alasan diberikan untuk pembatalan e-Jamin, atau bila ia akan digantikan dengan sistem elektronik lain.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini