comscore
Tumpuan :
Nasional

Ekonomi jadi fokus utama kerajaan tahun ini

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Aspek ekonomi menjadi fokus kerajaan pada tahun ini.

Demikian perutusan dan amanat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada barisan kabinet pada mesyuarat jemaah menteri pertama bagi tahun ini pada hari ini.

Menteri Komunikasi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, keutamaan kerajaan adalah mendorong pelabur tempatan dan luar negara untuk melabur di Malaysia sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi negara.

“Perdana Menteri telah memberi beberapa pandangan mengenai fungsi dimainkan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan ini penting bukan hanya untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi dalam negara tapi ada sedikit penyelarasan perlu dilakukan.

“Ini kerana banyak GLIC mempunyai pelaburan di luar negara.

“Jadi ada beberapa penekanan diberikan Perdana Menteri yang kita lihat penyelarasan tahun ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Jelasnya, antara perkara yang ditegaskan Perdana Menteri adalah memudah cara dan mempercepat proses kelulusan kerana jumlah pelaburan yang berhasrat untuk melabur ke Malaysia adalah sangat besar mencecah ratusan bilion ringgit.

Menurut Fahmi, mesyuarat jemaah menteri juga menyaksikan rangkuman beberapa kejayaan yang dilakukan Kerajaan MADANI sepanjang 2023.

Tambahnya, keadaan politik yang stabil pada tahun lalu membolehkan kerajaan membuat pengumuman penting khususnya mengenai kerangka Ekonomi MADANI, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan pengumuman lain termasuk inisatif digitalisasi kerajaan.

Sementara itu, ujar beliau, Anwar bersetuju untuk mengadakan jelajah MADANI di negeri-negeri susulan kejayaan pelaksanaan Program Setahun Kerajaan MADANI di Bukit Jalil pada Disember lalu.

“Tarikh pertama akan ditentukan dalam masa terdekat dan dimaklumkan dalam mesyuarat jemaah menteri tadi, negeri pertama akan menjadi hos ialah Selangor.

“Kita akan umumkan mungkin minggu depan mengenai tarikh dan lokasi bagi program terbabit, ini diikuti dengan Negeri Sembilan dan negeri lain,” katanya.

Loading...
Terkini