comscore
Tumpuan :
Nasional

Ekonomi Negara Dijangka Amat Mencabar Tahun Hadapan

KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka berdepan persekitaran amat mencabar tahun hadapan dengan ekonomi berkembang perlahan, namun tidak sehingga berlaku kemelesetan meskipun ekonomi Amerika Syarikat (AS) diramal menguncup, demikian kata penganalisis.

Ketua Penyelidik TA Securities Holdings Bhd, Kaladher Govindan, berkata, pihaknya tidak menjangkakan kemelesetan berikutan sokongan daripada kepelbagaian ekonomi negara ini, di samping persekitaran kadar inflasi yang rendah disokong oleh subsidi kerajaan dan pemulihan ekonomi domestik.

Katanya, sememangnya, tidak dapat dinafikan bahawa salah satu sebab utama untuk penilaian lebih rendah membabitkan Indeks FBM KLCI berbanding negara serantau adalah ketidakpastian politik domestik dan kekurangan hala tuju strategik.

“Dengan semua parti politik utama di Semenanjung mempunyai pengalaman mengemudi Kerajaan Persekutuan secara bersendirian atau menerusi pakatan sebelum ini, kami tidak menjangkakan perubahan ketara dalam dasar ekonomi selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), tidak kira siapa yang menang.

“Justeru, secara asasnya, saham kitaran kukuh yang murah dan menawarkan potensi pertumbuhan yang baik sepatutnya kekal dalam radar pelaburan walaupun terdapat daya tarikan semasa untuk (saham) defensif,” katanya dalam nota penyelidikannya.

TA Securities mengekalkan sasaran akhir tahun bagi Indeks FBM KLCI pada paras 1,590 mata.

Kaladher berkata, pada suku keempat tahun ini dijangka pelbagai peristiwa menarik akan berlaku yang boleh mempengaruhi sentimen pasaran termasuk pengumuman Bajet 2023 yang dijadualkan dibentangkan pada 7 Oktober depan, yang mana dijangka bajet populis.

Beliau berkata, sebaik saja pengumuman Bajet 2023, perhatian bertumpu pada pembubaran Parlimen dan tarikh PRU15, yang mana dijangka secara meluas akan diadakan pada akhir Oktober atau awal November.

Katanya, ketidaktentuan makro juga dijangka meningkat pada suku terakhir apabila Eropah menghadapi krisis tenaga menjelang musim sejuk yang teruk.

Pakar pasaran itu juga berkata, tekanan inflasi yang berterusan dan pengetatan monetari akan menyekat pertumbuhan ekonomi.

Beliau berkata, Rizab Persekutuan AS juga, mungkin meneruskan proses pengetatan agresifnya sehingga terdapat keterlihatan dan tanda-tanda berterusan penurunan inflasi.

Katanya, kemerosotan dalam hubungan antara negara maju Barat dan negara sedang membangun, terutamanya Russia dan China, menambahkan lagi keadaan yang meruncing sekarang.

“Sebagai negara perdagangan, Malaysia akan menghadapi situasi sukar berikutan latar belakang ini.

“Pengajaran yang diperoleh dalam empat tahun lalu seharusnya memberikan kematangan kepada parti politik untuk bekerjasama dan membentuk kerajaan yang kukuh dan stabil selepas PRU15 supaya mereka dapat memberi perhatian kepada aktiviti domestik yang semakin berkembang dan menambah baik daya saing jangka panjang negara,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini