KUALA LUMPUR: Kedudukan ekonomi Pahang terus mengukuhkan apabila mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang memberangsangkan untuk tempoh dua tahun berturut-turut.
Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Pahang merekodkan pertumbuhan KDNK sebanyak 10.8 peratus berbanding purata nasional iaitu 8.7 peratus pada 2022 dan peningkatan 5.2 peratus berbanding 3.6 peratus pada 2023.
“Pencapaian ini sekali gus menjadikan Pahang berjaya menduduki tempat teratas bagi negeri-negeri di Pantai Timur.
“Data Jabatan Perangkaan Malaysia juga menunjukkan ekonomi Pahang melonjak 11 peratus daripada RM58.4 bilion pada 2019 kepada RM64.9 bilion pada 2023, sekali gus menjadi petunjuk bahawa ekonomi negeri ini berada dalam keadaan sihat.
“Selain itu, Pahang turut mencatatkan jumlah pelaburan komited sebanyak RM36.94 bilion sepanjang tempoh 2022 hingga 2023 di mana ia tertumpu kepada sektor pembinaan, keterjaminan makanan, perladangan, perkhidmatan dan hartanah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Hi-Tea Program Jaminan Kerjaya Empowering De’Tea-Logue, di sini, semalam.
Wan Rosdy berkata, kejayaan itu dicapai hasil kestabilan politik, peningkatan produktiviti dan urus tadbir baik yang memberikan keyakinan kepada pelabur serta peniaga.
Beliau turut memuji peranan Yayasan Pahang dalam menyokong program berimpak tinggi terutama bagi membantu golongan kurang berkemampuan termasuk anak Orang Asli, anak rentan, pelajar keciciran dan lain-lain.
Menurutnya, Yayasan Pahang tidak hanya terhad kepada pemberian biasiswa dan pinjaman pendidikan, malah merangkumi pelbagai program lain termasuk keusahawanan, tahfiz, TVET dan Program Jaminan Kerjaya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.