Oleh: Fahmi Tajuddin
KUALA LUMPUR: Anak sulung kepada bekas pengasas Al-Arqam, Ummu Atiyyah Ashaari, bersetuju dan menyokong keputusan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang mengisytiharkan ajaran dibawa Nasiruddin Mohd Ali dan syarikatnya, Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn Bhd (GISBH), sebagai sesat serta menyeleweng.
Dalam pertemuan bersama Buletin TV3, wanita berusia 41 tahun itu juga mengakui sudah bertaubat dan meninggalkan ajaran Aurad Muhammadiyyah.
“Bila MKI kata GISBH sesat, saya setuju. Saya juga telah bertaubat dan berharap pengikut lain juga sedar seperti saya. Saya kini telah meninggalkan Aurad Muhammadiyyah,” katanya.
Mengimbas pengalaman hidupnya dalam jemaah berkenaan, Atiyyah menyifatkan kehidupannya kini jauh lebih tenang dan bebas berbanding ketika berada di bawah kawalan pimpinan GISBH.
“Dulu saya diarahkan untuk ikut segala kehendak mereka, dan jika ingkar, saya dipukul. Sekarang, saya bersyukur kepada Allah kerana bebas dan boleh membuat keputusan sendiri.
“Saya boleh apa sahaja yang ingin saya lakukan sekarang, dah tiada arahan daripada mana-mana pihak yang perlu saya ikuti,” katanya.
Berkongsi lanjut berkenaan kehidupannya yang pernah dikawal, Ibu kepada seorang anak itu turut mendedahkan anaknya tidak lari daripada menjadi mangsa jemaah GISBH.
“Macam anak saya sendiri bila saya tak ikut arah kahwin yang kononnya diarahkan Rasulullah, atau oleh ayah saya, mereka brainwash dia, sehingga dia ingat saya gila, saya jahat. Malah, anak saya diberi makan garam, dikasari dan kami saling dipisahkan,” tambahnya.
Oktober lalu, Atiyyah membuat pengakuan tergempar apabila mendedahkan pengalaman hitamnya menjadi mangsa keganasan jemaah GISBH pada 2015 serta dipaksa berkahwin dengan individu tersebut.
Dia juga mendakwa pernah dikurung di sebuah perkampungan GISBH di Batu Hampar Dalam, Perak.
Kini tumpuan Attiyah terarah kepada perbicaraan pimpinan dan GISBH atas pelbagai pertuduhan di mahkamah.
Dia juga berharap proses mahkamah itu akan membawa kepada keadilan kepada dirinya dan individu lain yang senasib dengannya.
Pada 13 November lalu, MKI mengesahkan ajaran, pegangan dan fahaman yang dibawa oleh Nasiruddin Mohd Ali dan syarikatnya sesat serta menyeleweng daripada ajaran Islam.
Pengerusinya Datuk Dr Nooh Gadut berkata, ia diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah MKI Kali Ke-125 yang berlangsung pada 24 hingga 26 September lalu.
Menurut keputusan itu, antara fahaman menyeleweng yang dipercayai oleh GISBH termasuk mentakrifkan Asy Syeikh Muhammad Abdullah As-Suhaimi atau Syeikh Muhammad Suhaimi sebagai Imam Mahdi, manakala pengasas al-Arqam, Asaari Muhammad, dianggap pembantu Imam Mahdi di akhir zaman.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.