comscore
Tumpuan :
Nasional

EKSKLUSIF: Ekonomi negara terus berkembang jadi harapan rakyat

PETALING JAYA: Ketegangan Geo-Politik, pengetatan Dasar Monetari, Inflasi dan kelembapan ekonomi dunia dijangka memberi cabaran buat ekonomi Malaysia tahun ini.

Pelbagai dasar dirangka Kerajaan Perpaduan dibawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar Malaysia kembali sebagai ‘Harimau Asia’ ketika pertumbuhan ekonomi dunia diunjur lebih perlahan pada kadar 2.4 peratus tahun ini.

PRESTASI BAIK

Tahun lalu, prestasi ekonomi Malaysia berkembang 3.3 peratus pada suku ketiga.

Dipacu dengan pelaburan asing bernilai RM347 billion, pelaburan domestik RM132.6 billion.

Jumlah perdagangan Malaysia pula melepasi paras RM2 trillion, nilai eksport RM1.18 trillion manakala import RM995.55 bilion.

Bagi Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, ekonomi Malaysia kini positif dengan faktor-faktor dalaman dan luaran.

“Jangkaan kami (penganalisis), Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bertumbuh 4.3 peratus.

“Faktor utama adalah faktor domestik terutama perbelanjaan kerajaan kemudian disebabkan kestabilan pasaran buruh kerana kadar pengangguran kekal rendah, faktor luaran juga membantu,” katanya.

PERLU LEBIH HASIL

Tambahnya, beberapa pelan dan inisiatif telah dirangka kerajaan antaranya pelaksanaan subsidi bersasar serta pengenalan cukai baharu.

Bagi memastikan ia berkesan, Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) akan dimulakan Januari ini agar subsidi bersasar berkesan.

Jelas Mohd Afzanizam, dalam keadaan kelembapan ekonomi dunia ketika ini, perubahan cukai yang diperkenalkan tahun ini amat bertepatan dengan keadaan semasa meskipun tidak popular.

“Kalau kita lihat RUU Public Finances Act mereka meletakkan beberapa parameter hutang tidak melebihi 60 peratus daripada KDNK, defisit fiskal tidak boleh melebihi 3 peratus.

“Dua parameter sudah cukup menandakan dua perkara perlu berlaku perlu naikkan hasil dan kurangkan perbelanjaan,” katanya lagi.

KADAR RINGGIT KUKUH

Kadar Ringgit juga dijangka mengukuh pada suku pertama tahun ini, didorong jangkaan penurunan kadar faedah Rizab Persekutuan AS.

Harga komoditi terutamanya kelapa sawit dijangka meningkat tahun ini disebabkan oleh faktor perubahan cuaca global.

Unjuran itu, mungkin melegakan, namun bagaimana pula realiti rakyat di bawah terutama golongan B-40 atau M-40?

Harmizi Othman, 25, seorang jururawat di hospital swasta di Lembah Klang ini menginginkan agar ekonomi Malaysia terus bertambah baik.

HARAPAN RAKYAT

Juga diharapkan, kesihatan awam sentiasa terjaga meskipun kes harian COVID-19 menunjukkan peningkatan.

“Saya harapkan ekonomi bertambah baik lah, harap penyakit-penyakit berjangkit harap berkurang lah,” jelasnya ringkas ketika ditemui.

Nada sama disuarakan suri rumah dan ibu kepada tiga orang anak, Farah Hamzah, 34, yang mahukan lebih banyak bantuan disalurkan kepada rakyat.

“Saya mengharapkan ekonomi lebih baik tapi setakat ini tidak ada lah sampai makanan tak ada di rumah.

“Tapi ramai sebenarnya orang di luar sana memang mengharapkan bantuan. Terutama golongan M40 atas bawah kena lenyek kan,” katanya.

KOS SARA HIDUP

Ini pula dapatan kami di Laman X mengenai harapan rakyat tahun ini.

Kami menelusuri kehidulan seorang ibu tunggal di ibu negara ini.

Siti Suzanne Anton, 47, pekerja swasta dan berpendapatan dibawah RM4,000.

IBU TUNGGAL B40

Siti menanggung lima anaknya yang masih belajar serta komitmen bulanan seperti sewa rumah, kereta, keperluan harian, hanya dengan satu gaji sahaja.

“Sangat perit, memang tidak mudah, sekarang beras naik mahal, bil elektrik pun tinggi, nak guna pendingin hawa pun boleh tahan.

“Akak tak tahu apa pelan kerajaan tapi akak harapkan bantulah kami. Janji makanan ada, tak lepas akak pun takpe janji makanan untuk anak-anak akak ada,” ujarnya ketika mengelap mata.

Air matanya mula gugur tatkala menceritakan mengenai realiti seorang ibu tunggal di bandar metropolitan.

PERLU CEKAL HATI

Hanya yang cekal hati sahaja jelas Siti, boleh menempuh kehidupan yang penuh cabaran di ibu kota ini.

“Masalah ekonomi ini memang beri kesan kelada kami sebab harga barang naik. Kalau makan luar dengan lima anak sekurang kurang RM100 diperlukan.

“Duit tu daripada guna makan di luar, baik saya beli barangan mentah makan di rumah lagi mudah. Tapi kadang kala memang teringin nak makan di luar,” katanya kepada penulis.

Ada kalanya, Siti terpaksa catu makanan anak-anak kerana kekurangan kewangan yang kdihadapinya.

HARAP EKONOMI KUKUH

Itu belum ditolak duit ubat jantungnya yang menelan ratusan ringgit.

Situasa ini bukan asing bagi golongan B40 dan M40 yang tinggal di bandar.

Harapan mereka, 2024 lebih banyak bantuan boleh disalurkan.

Dari sudut kerajaan pula, berikut antara bantuan yang diumumkan.

Loading...
Terkini