comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] [EKSKLUSIF] Keselamatan makanan: Kes keracunan makanan meningkat ketika Ramadan

Oleh Siti Khadijah Jaafar

PETALING JAYA: Bulan Ramadan begitu sinonim dengan hidangan pelbagai jenis juadah ketika waktu berbuka puasa.Ia dimeriahkan lagi dengan pembukaan bazar di pelbagai lokasi.

Tatkala enak menjamu selera, tahap kualiti dan keselamatan makanan sepanjang tempoh penyediaan makanan tidak kurang pentingnya. Adakah peniaga mahupun pembeli cakna dan menitik beratkan aspek keselamatan makanan?

Setiap kali Ramadan, jumlah peniaga di bazar juga meningkat bak cendawan tumbuh selepas hujan, ada yang sudah biasa berniaga dan tak kurang juga yang baru berjinak-jinak. Makanan basi dan rosak, aduan yang acap kali diterima saban tahun.

Amalan kebersihan dan penjagaan suhu dalam penyediaan makanan seharusnya diberi perhatian. Pengarah Pematuhan dan Pembangunan Industri Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan (KKM), Mahamad Sukor Senapi berkata, makanan sepatutnya dijamah tidak lebih empat jam selepas dimasak.

Bagaimanapun, kekangan masa ketika Ramadan termasuk menyempurnakan solat Tarawih terlebih dahulu menyebabkan ada yang lewat menjamah makanan sekaligus membawa risiko keracunan.

 

Pengarah Pematuhan dan Pembangunan Industri Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan (KKM), Mahamad Sukor Senapi

“Trend ni tak boleh dibiarkan nampak macam sesuatu yang tak baguslah walaupun kita nampak takde yang serius kan tetapi kita kena ingat juga lah ada juga 2 kes yang pada 2018 dan 2020 terdapat kejadian keracunan yang berpunca daripada bazar telah mengakibatkan kematian.”

Sejak 2020 hingga 2022, 113 kes keracunan sepanjang ramadan direkod KKM yang menyaksikan peningkatan setiap tahun.

“Sekolah memang antara yang tertinggi lah yang menyumbang kepada kategori premis dan diikuti dengan rumah persendirian ia kita tak nafikan sekolah sebab kanak-kanak masih lagi anak-anak ada yang masih di asrama waktu tu jadi keracunan ini berlaku banyak yang berkaitan dengan penyediaan makanan semasa proses iftar dan juga sahur di dapur asrama sekolah”.

Sehubungan itu, KKM sentiasa mengaktifkan penguatkuasaan termasuk pemeriksaan sebelum Ramadan iaitu di peringkat sumber, meliputi bahan mentah dan tempat penyediaan makanan bagi peniaga yang dilesenkan pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk pemeriksaan sumber bekalan seperti ayam, daging dan ais.

Sepanjang Ramadan pula, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan menjalankan pemeriksaan di bazar termasuk pensampelan makanan yang berisiko seperti produk tenusu, sayuran, serta sejarah pelanggaran produk makanan terdahulu.

Bagi institusi seperti sekolah, pemeriksaan berkala dilaksanakan dua kali setahun.

Sampel makanan yang diambil akan menjalani kaedah analisis yang spesifik menggunakan peralatan yang disteril bagi mencegah kontaminasi makanan dengan sumber luar.

Ia dibawa ke makmal mikrobiologi bagi menjalani proses analisis dan keputusan samada sampel berkenaan selamat ataupun tercemar akan dikeluarkan dalam tempoh 14 hari.

Sama ada penjual mahu pun pembeli , aspek keselamatan makanan harus menjadi tanggungjawab bersama.

Pengendali misalnya harus mengutamakan kebersihan dalam menghasilkan makanan yang selamat selain tidak menjual makanan yang tercemar semata-mata mengaut keuntungan.

Pembeli pula perlu mengamalkan konsep perhati dan lihat sebelum membeli serta hidu dan rasa apabila masuk waktu berbuka bagi memastikan makanan yang dibeli terjamin selamat dan tidak rosak.

Loading...
Terkini