comscore
Tumpuan :
Nasional

[EKSKLUSIF] Kuman bawa maut tersebar, kes meningkat 

Ketua Sektor Kawalan Tibi dan Kusta, Bahagian Kawalan Penyakit KKM, Dr Koay Teng Khoon.

Oleh Ridhwan Rusydi Azri Roslan

PUTRAJAYA: Penyakit tibi di negara ini berada pada tahap endemik. Ia sentiasa ada namun pada kadar yang stabil.

Namun sebelum ini, penyakit tibi muncul sebagai pembunuh nombor satu di antara tahun 1945 hingga 1957 sehinggalah Program Kebangsaan Pencegahan Penyakit Tibi pada 1961 berjaya mengurangkan kes berkenaan.

Menurut data terkini dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),  statistik menunjukkan peningkatan dengan merekodkan sebanyak 25,391 kes tibi tahun lalu.

Sekali gus wujud persoalan benarkah pendatang asing penyumbang kepada pertambahan kes ini?

Ketua Sektor Kawalan Tibi dan Kusta, Bahagian Kawalan Penyakit KKM, Dr Koay Teng Khoon ketika ditemui Buletin TV3 berkata, kurang tepat untuk menunding jari ke arah pendatang asing, memandangkan kes yang melibatkan bukan warganegara hanya 15%.

Beliau bagaimanapun tidak menolak yang pendatang asing tanpa izin (PATI) yang lolos tanpa saringan kesihatan berisiko menyebarkan kuman membawa maut itu.

“Sebenarnya, peratusan kematian di kalangan warga asing yang mati pada tahun 2022 lebih kurang sama komposisi atau peratusannya, iaitu sekitar 10%-15%.

“Tetapi kita tidak boleh menolak kemungkinan yang PATI boleh meningkatkan kes Tibi, kerana kita tidak tahu tahap dan status kesihatan mereka, kerana mereka tidak melalui pemeriksaan kesihatan. Yang datang dengan izin, kita boleh periksa dan jika ada penyakit seperti tibi, kita akan hantar mereka balik” katanya.

Malah kini, jumlah kematian disebabkan tibi juga bertambah sebanyak 12% atau sebanyak 2,572 kematian akibat tibi tahun lalu.

Pun begitu, 40% ke 50% darinya adalah kematian tibi secara tidak langsung iaitu disebabkan penyakit lain seperti jantung atau buah pinggang.

Lazimnya, tibi menjangkiti paru-paru. Namun ramai yang tidak tahu, melalui peredaran darah, tibi juga boleh menyerang bahagian lain tubuh badan manusia seperti buah pinggang, kulit, mata, kelenjar leher, tulang, termasuk otak.

“Jika ia menyerang otak, memang bahaya. Tulang mungkin tidak bahaya, tapi jika dijangkiti tibi pada tulang belakang boleh menyebabkan kelumpuhan selain boleh menyebabkan kecacatan kerana saraf di tulang belakang kita boleh melumpuhkan tulang kita.

“Jadi kesannya tengok kepada organ yang dijangkiti. Jika mata, boleh buta.”

Kini, Tibi Laten atau LTBI menjadi musuh baharu KKM. Ia lebih licik, kerana tidak menampakkan sebarang simptom.

Individu yang dijangkiti bakteria itu kelihatan sihat, namun, jatuh sakit ketika sistem imun badan lemah sekaligus menjadikan fenonema yang dikenali sebagai tibi pendam itu 10% ke 15% berisiko bertukar kepada tibi aktif.

“Penyakit tibi ini jangkitannya melalui udara. Jadi seseorang itu boleh dijangkiti apabila dia rapat atau mempunyai kontak dengan orang yang mempunyai tibi yang belum dirawat.”

“Apabila dia batuk, dia keluarkan kuman dan bakteria itu, jadi bila kita kongsi udara dengan bakteria itu akan terapung di udara selama beberapa jam, dan bila seseorang itu berada di situ, ia berkemungkinan akan sedut dan akan terus masuk ke paru-paru kita.

Namun, dengan rawatan, ia mampu menurunkan 20% kemungkinan jangkitan itu. Katanya, orang ramai tidak perlu risau kerana jangkitan tibi itu boleh dirawat tanpa memberikan sebarang kesan sampingan.

Beliau turut menegaskan pemberian vaksin BCG masih diperlukan bagi merangsang sistem imum badan bayi dan kanak-kanak untuk melawan penyakit tibi.

Tambahnya, dengan rawatan dan diagnosis awal, tibi mampu disembuhkan.

“Jika pesakit tibi itu datang awal, dengan tanda tanda gejala, dia sebenar dapat didiagnos awal dan diberi rawatan, dia boleh dirawat sehingga sembuh dan tiada isu seperti penyakit lain.

“Tibi ini ada ubat, cuma mereka (pesakit) kena datang awal untuk kita diagnos awal dan beri rawatan. Dan juga mereka kena ikut jadual rawatan dengan rapi.”

Loading...
Terkini