comscore
Tumpuan :
Nasional

[EKSKLUSIF] Risiko daki Everest antara hidup dan mati

Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa

KUALA LUMPUR: Jika mahu mendaki sekaligus menawan Gunung Everest, risikonya sudah diketahui iaitu antara hidup dan mati.

Bagi pendaki berpengalaman, Muhammad Illaham Ishak, persiapan dilakukannya bukan mudah kerana perlu menempuh seribu satu halangan.

Dia yang pernah menawan gunung tertinggi dunia Everest sebanyak dua kali iaitu pada 2013 dan 2011, berkongsi cabaran mental dan fizikal yang pernah diharungi.

Pernah menawan beberapa gunung lain seperti Gunung Elbrus di Rusia, 7 kali dan Gunung Kilimanjaro di Africa, dua kali.

Namun katanya puncak Everest bukan mudah untuk ditawan, walaupun pernah sampai pada ketinggian  8,850 meter.

Baginya seorang pendaki perlu kenal kebolehan dan kekuatan diri sebelum melakukan sukan ekstrem itu.

Ia termasuk cabaran terbesar pendaki iaitu simptom takut ketinggian gunung yang bakal menyebabkan fokus kepada teknik-teknik pendakian semakin berkurangan.

“Yang paling penting kita kena tahu diri kita dahulu. Memang ramai orang laju dekat darat ini, paras laut ini memang dia fit dia laju tetapi ketinggian lebih 2500 meter, fitness orang tu, fisiologi badan tu semua dah berubah. padahal dia fit, dia ultra runners.

“Jadi body dia, fisiologi body dia tak berapa nak ngam. Jadi dia kena berlatih lagi.” katanya.

Latihan intensif antaranya melakukan pendakian pada ketinggian yang rendah, sederhana dan seterusnya tinggi, antara perlu dilakukan.

Teknik dan latihan wajib ini perlu dilaksanakan maksima lima hingga enam tahun sebelum mampu yakin mendaki Gunung Everest.

Dia yang enggan mengulas lanjut tragedi yang berlaku kepada anggota Ekspedisi Malaysia Everest 2023 berkata setiap pendakian adalah berbeza.

Ia kerana melibatkan pelbagai faktor seperti persekitaran, cuaca dan kebolehan pendaki itu sendiri.

Namun setiap pendaki perlu bijak membuat penilaian risiko dan persiapan langkah sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

“Penilaian risiko ini kena ada supaya  lebih memudahkan. Proses pendakian kita nak dah listkan semua problem yang berlaku dan ia akan jadi cepat sikit.

“Saya rasa team yang pergi sana ada pengalaman, tetapi kalau ada group lain kalau boleh perkemaskan lagi dari segi pemilihan pendaki dan kekuatan.” ujarnya.

Tambahnya, diri tetap bersedih dengan pemergian Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Leftenan Kolonel Awang Askandar Ampuan Yaacob.

Selain berharap ada sinar terhadap penemuan seorang lagi pendaki ME 2023, yang juga OKU pendengaran, Muhammad Hawari Hashim yang masih hilang.

Loading...
Terkini