comscore
Tumpuan :
Kes

[EKSKLUSIF] Sudah masanya tamatkan helah ulat tiket

Foto hiasan

Oleh Izzatie Rizan

SHAH ALAM: “Sudah-sudahlah ulat tiket bermaharajalela, ambil untung atas angin.”

Itu reaksi rata-rata orang awam berhubung kewujudan ulat tiket yang selama ini menjadi ‘kerjaya bebas’ pihak tidak bertanggungjawab.

Ramai menyokong supaya ada peruntukan perundangan untuk mengekang kewujudan golongan itu supaya tidak menjadi ‘norma’ dalam kalangan masyarakat.

“Alah bisa tegal biasa” itulah pepatah sesuai yang boleh digambarkan situasinya, merata-rata ada sahaja kelibat ulat tiket.

Terbaharu, peminat Coldplay berdepan kesukaran mendapatkan tiket konsert kumpulan itu di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 22 November depan.

Ia selepas segelintir individu dipercayai kumpulan ‘scalper’ atau pembeli tiket hantu menjual semula tiket konsert siri jelajah itu dengan harga mencecah RM43,000.

Berkongsi pengalaman ditipu si ulat, Wan Mohammad Nabil Wan Mohd Zuki memberitahu, mahasiswa ini ditipu ketika mahu membeli tiket artis kumpulan popular dari Korea Selatan baru-baru ini.

Kerugian mencecah empat angka menjadikan dirinya ‘jeran’ selain berhati-hati sekiranya ingin membeli tiket atas talian.

Wan Mohammad Nabil Wan Mohd Zuki

“Masa tue dah terdesak, saya minat sangat kumpulan Blackpink jadi tak kisah nak beli harga mahal sikit, tapi tak sangka jadi mangsa scam pula,”

“Penjual kata kedudukan tiket dekat dengan kawasan VVIP dan berdekatan pentas, sekali bila dah beli rupanya yang paling hujung sekali dan lokasi itu juga menyukarkan saya nampak pentas pun. Saya rasa tertipu sangat, kalau boleh kekanglah aktiviti ulat ini…banyak sangat makan duit orang” katanya kepada Buletin TV9.

Luahan sama turut dikongsikan mahasiswa Aiman Akmal Azmi yang berpendapat situasi melibatkan ulat tiket ini semakin menjadi-jadi.

Aiman Akmal Azmi

“Sekarang memang dah berleluasa sangat contoh macam satu event tu, penganjur buka ‘pre-buy’ , mereka mesti tak akan lepaskan peluang, sudahlah beli dalam kuantiti yang banyak jadi peminat yang tunggu nak beli ni tak dapat beli tiket langsung”.katanya

Sementara itu Julia Nor Azlan mahu peruntukkan perundangan kelak diharap mampu membasmi aktiviti itu secara menyeluruh dalam pelbagai cabang membabitkan pembelian tiket.

Julia binti Nor Azlan

“Bagi saya ulat tiket ini dah lama ada, bukan sejak artis antarabangsa datang buat konsert sahaja, tapi contoh aktiviti ulat ini melibatkan penjualan tiket bas lagi-lagi bila nak balik raya.

Jadi kerajaan perlu ambil tindakan segera supaya beri titik noktah terus pada mereka,” katanya.

Dalam pada itu, penganjur konsert memaklumkan langkah mengetatkan sistem sudah dilakukan mereka bagi mencegah pembelian tiket secara berlebihan.

Antaranya setiap transaksi pembelian tiket perlu didaftar, termasuk pemeriksaan menyeluruh pada pintu masuk ketika konsert dijalankan.

Loading...
Terkini