comscore
Tumpuan :
Nasional

Eksploitasi Seksual: Ketegasan KPM wajar, disambut baik pelbagai pihak

Foto hiasan

Oleh: Aisyah Musa

KUALA LUMPUR: Komitmen dan ketegasan Kementerian Pendidikan (KPM) dilihat mampu menjadi titik tolak dalam menangani isu eksploitasi seksual terhadap kanak-kanak dengan lebih efektif dan menyeluruh.

Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia (KKGLMSM) menyambut baik ketegasan KPM selain menyifatkan golongan pendidik perlu bersama-sama memainkan peranan sebagai “mata dan telinga” kepada murid-murid di sekolah.

Presidennya, Mohamad Zapawi Mamat berkata tindakan sekeras-kerasnya perlu diambil terutama kepada pelaku yang melakukan gangguan seksual terhadap pelajar.

“Pelajar kita adalah modal insan kepada negara kita yang perlu kita lihat masa depan mereka.

“Kerana mereka yang menerima gangguan ini akan menyebabkan trauma dan pelajaran mereka akan menjadi merosot.

“Buat masa sekarang, pihak sekolah telah dimaklumkan pihak KPM mengenai masalah ini dan dalam masa sama kami menubuhkan jawatankuasa permuafakatan, pelbagai program turut diadakan bagi menyebar luas mengenai gangguan seksual ini kepada pelajar,” katanya kepada Buletin TV3.

Tegas beliau, usaha itu turut dilihat penting sejajar dengan penguatkuasaan Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Seksual.

Sementara itu, ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam mengenal pasti perubahan tingkah laku anak-anak di rumah selain kesan terhadap aspek fizikal, emosi dan perkembangan intelektual.

Ini kerana keadaan menjadi lebih serius jika anak mereka menunjukkan gejala kemurungan.

Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) , Prof Madya Datuk Mohamad Ali Hassan, berkata perlu diingatkan bahawa anak-anak atau murid-murid itu adalah anak-anak yang menjadi tanggungjawab kita yang mana tidak boleh dilepaskan begitu sahaja kepada pihak sekolah.

“Kita perlu berganding bahu membantu pihak sekolah dan dimulai dari rumah lagi. Ibu bapa mestilah lebih kerap dan lebih memahami situasi anak-anak mereka.

“Selalu bertanya kepada mereka segala permasalahan di sekolah misalnya perbezaan kelakuan, adab, tindakan dan ciri-ciri kelakuan harian mereka,” katanya.

Justeru, hal itu perlu dikekang bagi mengelak berlakunya penurunan prestasi pelajaran murid selain mewujudkan persekitaran yang lebih selamat dan selesa.

Menurut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari 2019 sehingga 2023 menunjukkan 85 peratus suspek yang melakukan jenayah seksual terhadap kanak-kanak adalah orang yang dikenali manakala enam peratus daripada pelaku adalah golongan pendidik.

Sebelum ini media melaporkan Kementerian Pendidikan memberi amaran bakal mengambil tindakan pecat kepada mana-mana guru atau kakitangan sekolah yang terbabit dalam gangguan seksual terhadap murid.

Menterinya Fadhlina Sidek berkata, pihaknya sentiasa komited dan berusaha memastikan sekolah menjadi tempat paling selamat kepada murid.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini