comscore
Tumpuan :
Nasional

Eksport Dijangka Meningkat 25 Peratus Tahun Ini

KUALA LUMPUR: Nilai eksport Malaysia dijangka mencatat pertumbuhan sebanyak 24 hingga 25 peratus tahun ke tahun disokong permintaan luaran yang semakin meningkat.

Ketua Ahli Ekonomi Kumpulan dan Ketua Penyelidik AmBank Research, Dr Anthony Dass, berkata walaupun eksport dijangka lebih perlahan dalam baki separuh kedua tahun ini akibat prospek ekonomi global yang suram, namun prestasi purata Januari hingga Ogos tinggi kepada 30.2 peratus.

“Prestasi eksport lapan bulan tahun ini melepasi sasaran 2022 kami, manakala baki purata empat bulan terakhir adalah sekitar 11 hingga 13 peratus.

“Mengenai unjuran lebih tinggi, kami meletakkan sasaran pertumbuhan eksport 26 hingga 27 peratus dan untuk mencapainya negara memerlukan purata pertumbuhan 18 hingga 21 peratus untuk baki empat bulan terakhir,” katanya dalam nota penyelidikan bersama penganalisis AmBank Research, Azri Azhar dan Muhamad Farid Anas Johari.

Sementara itu, eksport keseluruhan Malaysia berkembang sebanyak 48.2 peratus tahun ke tahun, manakala import tumbuh sebanyak 67.6 peratus tahun ke tahun.

Ia jelas menunjukkan perdagangan luar Malaysia terus menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan pada Ogos 2022.

Keseluruhan dagangan negara melonjak sebanyak 56.7 peratus tahun ke tahun kepada RM265.7 bilion.

Data kukuh berkenaan disokong eksport yang kukuh yang meningkat sebanyak 48.2 peratus tahun ke tahun, menjadikan jumlah eksport kepada RM141.3 bilion.

Menurut AmBank Research, purata pertumbuhan eksport bagi bulan ke lapan berada pada 30.2 peratus dengan permintaan terhadap barangan Malaysia amat tinggi ketika ini.

“Ia diterjemahkan dengan peningkatan eksport produk elektrik dan elektronik (E&E), produk petroleum, minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit, gas asli cecair (LNG) serta peralatan optik dan saintifik.

“Data Ogos menunjukkan eksport produk petroleum, LNG, serta peralatan optik dan saintifik kami melaporkan nilai bulanan tertinggi,” katanya.

Sementara itu, penganalisis AmBank Research berkata, pertumbuhan import dijangka berterusan berikutan peningkatan berterusan dalam aktiviti ekonomi dalam negara.

“Import meningkat 67.6 peratus tahun ke tahun menjadikan jumlah import kepada RM124.4 bilion. Ini menjadikan purata pertumbuhan import sepanjang tahun kepada 36.6 peratus.

“Pertumbuhan import disokong oleh barangan perantaraan (pertumbuhan 56.1 peratus tahun ke tahun), barangan penggunaan (43.1 peratus tahun ke tahun) dan barang modal (23.7 peratus tahun ke tahun),” katanya.

Dalam pada itu, AmBank Research berpendapat ketidaktentuan dalam landskap global mungkin mengurangkan momentum peningkatan prestasi perdagangan Malaysia.

“Tanda-tanda awal potensi kelembapan dilihat dalam sektor pembuatan di mana tempahan baharu untuk eksport semakin berkurangan. Dan harga komoditi juga semakin berkurangan.

“Pertumbuhan global yang lebih perlahan boleh menjejaskan prospek perdagangan Malaysia.

“Risiko mungkin datang daripada permintaan global yang lebih lemah di tengah-tengah peningkatan inflasi global, kemungkinan kelembapan mendadak di AS disebabkan oleh pengetatan monetari yang agresif dan kekurangan bahan mentah atau gangguan rantaian bekalan, selain pemulihan yang lemah di China berikutan sekatan COVID-19 di negara berkenaan awal tahun ini,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini