comscore
Tumpuan :
Nasional

El Nino: Kawasan peranginan air terjun di Yan kering

YAN: Kesan musim kemarau dilihat semakin teruk diutara tanah air terutama di kawasan peranginan di kaki Gunung Jerai, di sini yang semakin kering.

Tinjauan di air terjun Seri Perigi mendapati pusat peranginan setinggi kira-kira 100 meter itu kering sepenuhnya tanpa sebarang laluan air.

Manakala di Titi Hayun iaitu tempat yang pernah mengorbankan enam mangsa akibat kejadian kepala air pada 18 Ogos 2021turut mengalami keadaan yang sama apabila air kawasan itu semakin kering.

Hanya terdapat beberapa lopak air kelihatan dengan aliran air yang sangat sedikit dan perlahan.

Menurut penduduk tempatan, Mohd Said Ariffin, 56, dia mula perasan keadaan air di pusat peranginan itu semakin surut sejak hujung Januari lalu dan semakin kering pada awal bulan ini.

Katanya, keadaan itu menyebabkan kawasan peranginan itu semakin hilang seri apabila tiada lagi kedengaran bunyi deruan air terjun.

“Memang tahun ini cuaca panas agak luar biasa, selalunya tidak lah sampai ke tahap ini, air pun terasa panas, saya boleh nampak hanya terdapat kawasan tertentu ada terbentuk lopak air.

“Sekiranya fenomena El Nino ini berlarutan lebih lama, pengunjung tidak lagi akan memilih kawasan peranginan di daerah ini untuk mandi manda sekali gus menjejaskan sektor pelancongan desa di sini,” katanya yang tinggal di Kampung Setar.

Banyak gerai di Titi Hayun juga ditutup kerana ketiadaan pengunjung, selain air terjun Batu Hampar juga kering sepenuhnya, hanya bongkah batu-batu yang kelihatan.

Kawasan tadahan air di Gunung Jerai mengalami penyusutan kesan daripada cuaca panas berpanjangan, menyebabkan kapasiti pengeluaran air bersih di beberapa loji rawatan air (LRA) separa proses (headwork) yang bergantung kepada air bukit terjejas.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini