comscore
Tumpuan :
Nasional

El Nino: Panggilan kebakaran terbuka meningkat mendadak di Kedah

Anggota Bomba memadam kebakaran membabitkan kawasan belukar dan lalang berikutan cuaca panas ketika ini.

ALOR SETAR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah menerima peningkatan jumlah panggilan kes kebakaran terbuka di negeri ini secara mendadak iaitu sebanyak 1,073 kes hanya dalam tempoh dua bulan bermula Januari hingga awal bulan ini.

Pengarahnya, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Awang Hidzel Awang Bujang berkata, peningkatan jumlah itu mengatasi statistik panggilan kecemasan membabitkan kebakaran terbuka tahun sebelum ini iaitu 1,087 kes sepanjang tahun lalu manakala 689 kes tahun 2022.

Jumlah panggilan kes itu meningkat berikutan peningkatan suhu akibat cuaca panas atau fenomena El Nino yang melanda ketika ini.

Katanya, kebakaran belukar dan lalang dilaporkan paling tinggi iaitu 963 kes, manakala kes kebakaran sampah 79 kes, kebun dan lalang (20 kes) dan 11 kebakaran hutan.

Pengarah JBPM Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Awang Hidzel Awang Bujang. – FOTO: NSTP

Menurutnya, jumlah itu berbeza dengan panggilan kes kebakaran belukar/lalang sepanjang tempoh tahun lalu iaitu 867 kes, kebun dan lalang (33 kes), hutan (55 kes) dan sampah (132 kes.)

Awang Hidzel berkata, statistik ini menunjukkan keadaan suhu sekarang ini sangat panas walaupun ada beberapa kawasan sudah berlaku hujan tetapi tidak boleh dijangka hujan terus turun kerana panggilan kes kebakaran masih tinggi.

Beliau menasihatkan supaya setiap kali pembakaran jerami dilakukan, pastikan ada orang mengawasinya untuk mengelak kebakaran tidak merebak sampai ke rumah penduduk.

“Selain itu, pendaki yang melakukan aktiviti beriadah di bukit atau gunung juga dinasihatkan supaya tidak meninggalkan bekas bara api atau membuang puntung rokok di kawasan rumput kering bagi mengelak berlaku kebakaran lebih besar.

“Padam dahulu sumber api yang boleh mengelakkan kebakaran berlaku kerana biasanya waktu petang angin kuat, Jadi mudahlah berlaku kebakaran jika masih ada sumber api situ.

“Puntung rokok dan timbunan sampah juga antara faktor yang berkemungkinan boleh menyebabkan berlakunya kebakaran yang lebih besar,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, JBPM Kedah menerima panggilan kes sebanyak 253 berkaitan tangkapan ular yang masuk ke kediaman penduduk di negeri ini sepanjang tempoh dua bulan ini.

“Kehadiran ular juga dijangka meningkat berikutan suhu panas ketika ini yang boleh mengancam manusia terutamanya spesis tedung selar atau King Cobra.

“Nasihat saya kepada penduduk supaya berhati-hati apabila ular memasuki kediaman mereka terutama di kawasan sawah kerana ular biasanya hendak cari kawasan untuk berlindung di rumah atau reban ayam dan kereta,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini