comscore
Tumpuan :
Nasional

Elak pecah amanah, JSJK cadang akaun amanah dikawal bersama antara peguam, anak guam

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf.- Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman mengesyorkan firma guaman mewujudkan akaun amanah yang dikawal bersama oleh peguam dan anak guamnya, bagi membendung jenayah pecah amanah yang semakin berleluasa.

Pengarahnya Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, hanya melalui kaedah ini, jenayah pecah amanah oleh peguam ini dapat dihapuskan sepenuhnya.

“Ini mesej penting yang ingin disampaikan oleh JSJK kepada Badan Peguam. Cadangan itu bukan sesuatu yang merumitkan, malah memudahkan semua pihak yang berurusan transaksi kewangan melalui peguam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (Hartaguam) semalam, yang menasihati orang ramai menyemak latar belakang sebelum melantik peguam hartanah untuk mengelak menjadi mangsa penipuan.

Datuk Seri Ramli berkata, jika ada apa-apa sebab yang tidak diketahui masyarakat mengenai akaun amanah hanya boleh diuruskan firma guaman dan tidak bersifat dua pihak, maka perkara itu perlu diperjelaskan untuk kefahaman masyarakat.

Beliau berkata sekiranya perkara itu tidak dilakukan akan timbul pelbagai tanggapan dalam kalangan masyarakat, termasuklah bahawa peguam menggunakan wang anak guam untuk perniagaan, untuk pelaburan di institusi kewangan, malah untuk tujuan pengubahan wang haram.

“Hanya ketelusan dapat mengelakkan persepsi negatif terhadap institusi guaman,” katanya. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini