comscore
Tumpuan :
Nasional

Elak perpecahan berkaitan 3R antara fokus draf MoU peruntukan Ahli Parlimen pembangkang

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Mengelakkan perpecahan dalam kalangan wakil rakyat bagi memastikan kestabilan negara antara fokus draf Memorandum Persefahaman (MoU) peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang yang sedang diperhalusi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ini termasuk isu berkaitan 3R (agama, raja, kaum).

“Kita tengah perhalusi (draf), tapi gambaran saya sudah beri, apa kandungannya. Pertama untuk fokus supaya semua Ahli Parlimen melihat bagaimana untuk membangunkan dan memulihkan ekonomi negara.

“Ini untuk memastikan kestabilan supaya kita dapat menarik seramai mungkin pelancong (dan pelabur) dan mengelakkan perkara-perkara yang boleh menyebabkan perpecahan, 3R dan sebagainya,” katanya.

Beliau ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Sains Negara Bilangan 1 Tahun 2024 di Bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.

Fadillah yang juga Ketua Whip Kerajaan Perpaduan berkata, draf MoU tersebut sedang dimuktamadkan, namun tidak meletakkan tempoh ia bakal disiapkan.

Jelasnya, apabila siap, draf tersebut akan diserahkan kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) semua parti politik yang mempunyai Ahli Parlimen untuk diluluskan.

“Saya tak tahu di peringkat PN (Perikatan Nasional), pembangkang sebab ada yang kata tak perlu perjanjian, tetapi apa pun kita akan melihat, kita siapkan dahulu draf,” katanya.

Sebelum ini, Fadillah dilapor berkata, draf MoU itu antaranya memberi tumpuan kepada persefahaman menggerakkan pembangunan negara, fokus kepada ekonomi dan kebajikan rakyat.

18 April lalu, Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada dasarnya bersetuju untuk mengagihkan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang dan draf MoU dirangka terlebih dahulu.

Pada November tahun lalu, Fadillah diberi tanggungjawab berunding dengan pembangkang berhubung peruntukan untuk wakil rakyat mereka.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini