
KUALA LUMPUR: Rakyat diingatkan untuk tidak berkongsi atau memuat naik kandungan-kandungan yang berbaur kebencian terutama yang melibatkan elemen perkauman, agama dan institusi Diraja atau 3R (race, religion, royalty) di media sosial atau aplikasi pesanan segera.
Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din berkata, ia susulan beberapa insiden yang menggugat ketenteraman awam dan keharmonian di dalam negara ini natijah daripada sebaran elemen 3R itu.
Katanya, ucapan berbaur kebencian merujuk kepada kata-kata ucapan ataupun gambar yang menuduh, merendah-rendahkan nilai seseorang individu atas faktor perkauman, etnik, agama mahupun kewarganegaraan mereka.
“Sehubungan itu, MCMC akan terus membuat pemantauan bagi membendung penyebaran maklumat yang tidak sahih serta kenyataan bersifat jelik membabitkan unsur 3R.
“Sebarang perkongsian kandungan bersifat palsu, jelik dan mengancam adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang jika disabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, tindakan penguatkuasaan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan diambil terhadap mereka yang terbabit mengikut peruntukan undang-undang sedia ada demi melindungi ketenteraman dan kepentingan masyarakat.
Beliau berkata, pentadbir portal berita dalam talian, media sosial dan aplikasi pemesejan digesa untuk menggunakan kuasa editorial mereka untuk menguruskan komen-komen daripada netizen di platform mereka.
“Pihak penyedia platform media sosial pula diminta untuk lebih bertanggungjawab dalam menurunkan kandungan-kandungan berbaur provokatif dan berbahaya apabila dikesan.
“Sekiranya terjumpa kandungan berbaur hasutan, provokasi ataupun menghina agama, Institusi Diraja dan perkauman, segera laporkan insiden tersebut kepada MCMC melalui portal Aduan MCMC di pautan https://aduan.skmm.gov.my/, talian aduan: 1800-188-030, WhatsApp di 016 2206 262 dan e-mel di [email protected]
Orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat atau melaporkan berita palsu melalui pautan https://sebenarnya.my/salur/,” katanya. – HARIAN METRO