comscore
Tumpuan :
Nasional

Elaun Sara Hidup pelajar tajaan kerajaan naik mulai tahun depan

Foto hiasan

PUTRAJAYA: Kerajaan akan menaikkan kadar Elaun Sara Hidup (ESH) kepada pelajar tajaannya bermula tahun depan, dengan anggaran pertambahan implikasi kewangan sebanyak RM30.78 juta.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata kenaikan itu membabitkan 24,729 pelajar tajaan kementerian yang sedang atau akan ditaja melanjutkan pelajaran di dalam atau luar negara.

Beliau berkata, kadar ESH akan dinaikkan 15 peratus kepada pelajar sarjana atau doktor falsafah (PhD) sedia ada dan baharu di dalam atau luar negara serta di bawah Program MyBrainScience.

“Bagi pelajar sedia ada dan baharu di United Kingdom (UK), ia akan diseragamkan serta tidak lagi mengikut kawasan memandangkan kini wujud perbezaan indeks kos sara hidup di kawasan berbeza.

“Begitu juga kadar ESH pelajar sedia ada dan baharu di Amerika Syarikat yang turut diseragam daripada tiga kepada dua kadar sahaja.

“Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan turut menaikkan kadar ESH pelajar sedia ada dan baharu bagi program penajaan dalam negara, termasuk mereka yang menerima biasiswa dan dermasiswa dalam negara sebanyak RM100 sebulan.

“Kenaikan ini membabitkan penerima Biasiswa Atlet Cemerlang Institut Pengajian Tinggi (IPT), Biasiswa Pelajar Cemerlang Politeknik, Biasiswa Tokoh Siswa, Dermasiswa B40 TVET dan Program MyBrain 2.0,” katanya.

Beliau berucap sempena Majlis Pelancaran MyBrain 2.0 dan penyampaian surat tawaran penajaan 2023 di KPT, hari ini.

Mohamed Khaled berkata, KPT juga akan menyeragamkan ESH pelajar sedia ada dan baharu kepada satu kadar mengikut peringkat pengajian.

“Kadar bagi pelajar Ijazah Sarjana Muda ialah RM730, diikuti Ijazah Sarjana (RM800) dan PhD (RM1,000).

“Bagaimanapun, penyeragaman berkenaan tidak membabitkan program MyBrainScience kerana kadar ESH sedia ada adalah lebih baik berbanding program lain,” katanya.

Beliau berkata, turut dinaikkan sebanyak RM100 sebulan ialah ESH atau Elaun Wang Saku yang diperluaskan kepada pelajar B40 termasuk Bantuan Kewangan Asasi IPTA dan Bantuan Kewangan Pelajar Kolej Komuniti serta OKU (Bantuan Kewangan Orang Kurang Upaya dan Program Pendidikan Khas).

Katanya, kadar ESH dinikmati pelajar kalangan pegawai awam dalam perkhidmatan sama ada sedia ada dan baharu dalam dan luar negara dikekalkan.

“Ia berikutan kenaikan kos sara hidup mampu diserap oleh pegawai yang mengikuti pengajian dalam dan luar negara kerana mereka turut menerima gaji bulanan penuh secara tetap selain ESH,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini