comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Elsa kurus bukan sebab tak makan

 

AYER KEROH: Harimau bengal putih yang berada di bawah jagaan Zoo Melaka di sini diberi makanan yang cukup serta mengikut diet disarankan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara, Perhilitan.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, MPHTJ, Datin Sapiah Haron berkata bagaimanapun harimau berkenaan yang diberi nama Elsa mempunyai masalah kesihatan sejak dilahirkan kerana ia dibiakkan di dalam keluarga yang sama.

Harimau putih dinamakan Elsa kurus akibat penyakit yang dialaminya, bukan kerana tidak diberi makan. – FOTO: NSTP

“Menjaga Elsa seperti jaga bayi kecil kerana ia mempunyai masalah kesihatan sejak lahir seperti ada masalah tulang punggung, tulang belakang serta rahang. Elsa nak makan susahlah sebenarnya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Jelas Sapiah, ketika Zoo Melaka menerima Elsa pada 2019 beratnya cuma sekitar 50 kilogram (kg) dan berjaya ditingkatkan kepada 70 kg ketika ini.

Tambah Sapiah, ekoran masalah kesihatannya itu, Elsa sukar untuk makan dan perlu bersuap.

Tegasnya lagi, berikutan itu doktor veterinar yang ditugaskan menjaga Elsa mengaturkan diet dan rutin baharu bagi haiwan berkenaan agar ia mampu hidup berdikari.

Yang Dipertua MPHTJ, Datin Sapiah Haron pada sidang media selepas melawat Elsa di Zoo Melaka hari ini. – FOTO: NSTP

Sapiah berkata ketika ini Elsa perlu makan dengan sendiri dan hanya disuap oleh penjaganya apabila diperlukan sahaja selain turut dilepaskan di kandang terbuka bagi membantu proses pemulihannya.

“Alhamdulillah, Elsa dah boleh belajar makan sendiri walaupun dia hanya makan 80 peratus daripada jumlah makanan yang diberikan iaitu 5 kg ayam setiap hari.

“Kalau harimau sihat dia akan makan 5 ke 7 kg (daging) tapi dia makan 3 ke 4 kg sehari. Jika ini berlaku penjaganya akan bantu Elsa makan dengan menyuap harimau tersebut. Berat ideal bagi Elsa yang kini berumur 7 tahun adalah sekitar 100kg,” katanya.

Sapiah pada masa sama menafikan dakwaan yang tular di media sosial bahawa zoo berkenaan tidak mengambil berat dan mengabaikan kesihatan serta aspek pemakanan haiwan di pusat konservasi tersebut.

Katanya pengurusan Zoo Melaka akan meletakkan papan tanda di kandang harimau terbabit memaklumkan haiwan berkenaan mempunyai masalah kesihatan agar pengunjung lebih memahami keadaan Elsa selepas ini.

Sebelum ini tular sebuah video di laman sosial TikTok mendakwa harimau bengal putih tersebut terlalu kurus kerana tidak diberi makan dan pengendali akaun meminta agar ia dilepaskan di habitat asal.

Loading...
Terkini