comscore
Tumpuan :
Nasional

Empat jenis geran diberi kepada PSK sukarela jaga kanak-kanak

 

FOTO: NSTP

Oleh Amirulhakim Lokman

Kuala Lumpur : Empat jenis geran diberikan kepada Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK) yang memberikan perkhidmatan penjagaan, perlindungan dan pemulihan kepada kumpulan sasar termasuk kanak-kanak.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Aiman Athirah Sabu berkata, bantuan kewangan kerajaan itu bagi menampung sebahagian kos yang ditanggung oleh PSK.

“Bagi menggalakkan pewujudan masyarakat penyayang dan merealisasikan ‘kebajikan tanggungjawab bersama’ serta menanam sifat rahmah dalam kalangan masyarakat, kementerian juga menyediakan platform secara dalam talian yang dikenali sebagai sistem mycorporate care (mycc). Sistem ini merupakan alternatif sektor kerajaan, sektor korporat, syarikat swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan individu untuk menyalurkan sumbangan kepada PSK yang berdaftar berdasarkan keperluan yang dikehendaki,” katanya di Dewan Rakyat.

Geran yang diberikan termasuk geran rangsum (makan minum), geran pentadbiran, geran perkapita dan geran pembaikan.

Menurutnya, Jabatan Kebajikan Masyarakat JKM memperkenalkan konsep pemeliharaan berasaskan keluarga PBK dalam pengurusan kes kanak-kanak tersebut.

Penempatan kanak-kanak dalam institusi kekeluargaan akan memberi peluang kepada kanak-kanak mendapat penjagaan dan pemeliharaan dalam suasana kekeluargaan, mendapat kasih sayang dan kemesraan keluarga.

Sementara itu beliau berkata, JKM mempunyai 18 buah institusi kanak-kanak dan daripada jumlah itu sebanyak 16 memberi perkhidmatan pemeliharaan dan perlindungan kepada kanak-kanak lelaki dan perempuan di bawah 18 tahun termasuk bayi dan kanak-kanak yang tak sah taraf.

Loading...
Terkini