comscore
Tumpuan :
Nasional

Empat kilang di Gelang Patah musnah dalam kebakaran

ISKANDAR PUTERI: Empat unit bangunan kilang di Taman Perindustrian Dato Yunus Sulaiman, Lima Kedai, Gelang Patah di sini musnah dalam kebakaran, semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Siti Rohani Nadir berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 6.37 petang.

Beliau berkata pihaknya berjaya mengawal kebakaran pada 6.50 petang di kawasan yang terdapat tujuh unit bangunan kilang itu dengan tiga daripadanya dapat dikawal daripada terbakar manakala empat lagi masih dalam operasi pemadaman.

“Menurut saksi, kebakaran dipercayai bermula di bahagian ‘warehouse’ kilang selain mengandungi bahan-bahan mudah terbakar seperti solvent, aseton dan dme.

“Kerja-kerja ‘cooling’ masih dijalankan sehingga api padam (sepenuhnya) di samping Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) masih melaksanakan pemeriksaan pencemaran udara di kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Ling Tian Soon berkata beliau dan Jabatan Alam Sekitar telah melakukan pemantauan kualiti udara di sekitar lokasi kejadian, susulan insiden berkenaan.

Beliau berkata pengawasan kualiti udara dilakukan di kawasan perumahan Jalan Bahagia 1 (jarak 300 meter) dan di hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Ping Ming (jarak 500 meter) dari lokasi kejadian, pada 12.30 tengah malam dan 8 pagi tadi.

“Pengawasan di kawasan perumahan Jalan Bahagia 1 mendapati terdapat bau seperti cat dan solvent, (namun), bacaan pengawasan udara memuaskan dengan tiada bacaan melebihi AEGL 1 (rasa tidak selesa dan menyebabkan kerengsaan).

“Sementara itu, pengawasan di hadapan SJKC Ping Ming tiada apa-apa bau dikesan dan bacaan kualiti udara juga menunjukkan tiada pencemaran,” katanya.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP M Kumarasan ketika dihubungi Bernama mengesahkan menerima laporan itu.

— BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini