comscore
Tumpuan :
Nasional

Empat pasukan KKM ditempatkan di PPS sepanjang tengkujuh

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Empat pasukan dari Kementerian Kesihatan (KKM) terlibat bagi menghadapi bencana banjir susulan Monsun Timur Laut (MTL) 2023/2024 yang dijangka bermula Sabtu ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pasukan perubatan berperanan melawat dan memberi rawatan di pusat pemindahan sementara (PPS), manakala pasukan kesihatan bagi melakukan pemantauan, pencegahan dan kawalan penyakit serta pemeriksaan persekitaran di PPS.

“Pasukan Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) bagi memberikan dan menyelaraskan perkhidmatan sokongan psikososial kepada mangsa dan petugas serta Pasukan Rapid Assessment Team (RAT) dan Rapid Response Team (RRT) bertanggungjawab membuat penilaian dan memberi respon bagi mencegah dan mengawal kejadian wabak semasa banjir,” katanya.

Mengulas lanjut, menurut Dr Muhammad Radzi, KKM sentiasa bersiap sedia untuk memberi perkhidmatan terbaik bagi meneruskan kesinambungan perkhidmatan kesihatan kepada mangsa banjir dan mencegah penularan penyakit berjangkit yang boleh berlaku ketika banjir.

Ujarnya, beberapa siri mesyuarat kesiapsiagaan bagi menghadapi banjir telah diadakan semua Jabatan Kesihatan Negeri (JKN).

Ia antaranya bagi memastikan anggota dan pasukan sentiasa bersedia dan keperluan air bersih, logistik, ubatan, peralatan, komunikasi dan lain-lain bagi kelangsungan perkhidmatan kesihatan semasa bencana dapat disediakan.

Selain itu, golongan berisiko tinggi seperti kes antenatal dan penyakit kronik yang memerlukan rawatan kritikal dikenal pasti dan dapat dipindahkan awal bagi mengelakkan terputus rawatan.

KKM turut mengenal pasti pusat rawatan hemodialisis alternatif sekiranya pusat hemodialisis hospital atau pusat asal pesakit terjejas bagi memastikan kelangsungan rawatan serta memastikan aset dan peralatan di fasiliti berisiko banjir ditempatkan di lokasi yang selamat bagi mengelakkan kerosakan dan kerugian.

“KKM akan memastikan semua sistem sokongan hospital, bekalan gas perubatan, bekalan darah, peralatan pakai buang, bekalan bahan mentah dan makanan kering berada dalam fungsi yang baik dan mencukupi, selain memastikan stok ubat-ubatan untuk pencegahan dan rawatan penyakit bawaan air dan makanan semasa banjir mencukupi bagi kegunaan anggota penyelamat dan mangsa banjir,” katanya.

Maklumat lanjut mengenai langkah pencegahan penyakit semasa banjir boleh dirujuk di laman sesawang https://www.infosihat.gov.my/banjir.html.

|ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini