PUTRAJAYA: Beberapa premis perniagaan milik Global Ikhwan Services & Business Berhad Holdings (GISBH) di sini, dipercayai ditutup sejak empat hari lalu, selepas syarikat itu didakwa terbabit dengan dakwaan aktiviti pemerdagangan dan eksploitasi kanak-kanak.
Tinjauan mendapati tiga premis di Jalan Diplomatik dan Jalan Kedah, Presint 15, di sini, sudah tidak beroperasi.
Penuntut universiti awam, Addin Hilmi Halim, 20, berkata, kafe terbabit dibuka pada setiap hari dan jarang sekali ditutup kerana sering dikunjungi pelanggan terutama waktu bekerja.
Menurutnya, selepas berita tersebar luas mengenai GISB, kafe terbabit semakin kurang dikunjungi pelanggan.
Katanya, dia pernah beberapa kali berkunjung ke kafe itu untuk membeli makanan dan mendapati ramai pekerjanya terdiri daripada golongan muda, berperawakan kurang mesra dan sukar untuk berinteraksi dengan pelanggan.
“Sejak kafe ini ditutup, kelibat pekerjanya juga tidak kelihatan mungkin sudah diarahkan ketuanya untuk berpindah ke tempat lain,” katanya.
Sementara itu pembantu jualan, Mohd Faris Haziq Mohd Fauzi, 20, berkata, kesemua premis GISB yang terdapat di kawasan itu ditutup serentak, selepas berita mengenai syarikat itu tersebar luas di media.
Katanya, walaupun tempat dia berkerja itu berhampiran dengan premis berkenaan, namun dia tidak pernah pula melihat atau mendengar berita premis berkenaan diserbu pihak berkuasa untuk disiasat seperti di tempat lain.
“Sebagai generasi muda, saya tidak pernah mengetahui syarikat di bawah GISB ini adalah serpihan daripada ahli Al-Arqam yang pernah diharamkan kerajaan suatu masa dulu sehinggalah berita mengenainya tersebar luas,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan beberapa premis perniagaan yang bernaung di bawah GISBH seperti di Perlis, Kelantan dan Terengganu, ditutup, selepas terkesan dengan isu yang melanda syarikat itu.
Berdasarkan laman web, GISB syarikat itu mempunyai rangkaian restoran dan pasar raya di dalam, dan luar negara termasuk di Makkah dan Australia.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.
| ARTIKEL BERKAITAN
- Empat premis GISBH di Pulau Pinang diserbu, buku diharamkan dirampas
- Rumah jagaan kanak-kanak, premis perniagaan GISBH di Pulau Pinang diserbu
- [VIDEO] TERKINI: ‘Markas GISBH’ digempur
- Eksploitasi kanak-kanak: 96 akaun GISBH bernilai RM581,000 dibeku – KPN
- 402 kanak-kanak dieksploitasi di rumah amal diselamatkan polis