comscore
Tumpuan :
Nasional

Empat pusat hiburan diserbu, 26 pekerja, GRO warga asing ditahan

KUALA LUMPUR: Polis menyerbu empat pusat hiburan di sekitar ibu kota yang disyaki beroperasi tanpa lesen dan menggaji wanita warga asing sebagai pelayan pelanggan (GRO) menerusi Op Noda tengah malam tadi.

Serbuan bermula 11.30 malam itu dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Kuala Lumpur.

Empat pusat hiburan yang diserbu masing-masing dua premis di Jalan Kampung Pandan dan satu premis di Jalan Sultan Ismail dan Taman Miharja, Cheras.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid, berkata menerusi empat serbuan itu, pihaknya menahan 30 individu termasuk empat penjaga premis serta 26 warga asing berusia antara 20 hingga 41 tahun.

Menurutnya, empat penjaga premis yang ditahan adalah lelaki tempatan, manakala 26 warga asing yang ditahan terdiri daripada dua pekerja lelaki dan 24 wanita warga asing disyaki diupah sebagai GRO.

“Mereka terdiri daripada dua lelaki warga Myanmar serta 10 wanita warga Indonesia, tujuh wanita warga Vietnam, tiga wanita warga China, tiga wanita warga Thailand dan seorang wanita warga Laos.

“Semakan lanjut mendapati dua daripada empat premis yang diserbu ini tidak mempunyai lesen perniagaan sah dan tiga daripada premis hiburan itu didapati menggaji warga asing sebagai pekerja dan GRO,” katanya.

Tambahnya, kesemua individu yang ditahan itu kemudian diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, IPD Dang Wangi dan IPD Cheras untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 39(b) Akta Imigresen 1963, Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan dan Kaedah 29 Kaedah-kaedah Hiburan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1992.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini