KUALA LUMPUR: Kegembiraan menyambut Tahun Baharu Cina bertukar detik cemas bagi empat sekeluarga apabila rumah mereka di Taman Mas, Cheras, musnah dalam kebakaran awal pagi ini.
Kesemua mangsa, berusia antara 46 hingga 81 tahun, terperangkap dalam kediaman yang terbakar sebelum berjaya diselamatkan oleh pasukan bomba.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.40 pagi sebelum anggota dikejarkan ke lokasi.
Beliau berkata, dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Tun Hussein Onn serta Ampang dikejarkan ke lokasi.
“Kebakaran membabitkan sebuah rumah teres setingkat yang musnah 20 peratus dan sebuah motosikal jenis Yamaha yang diparkir di hadapan rumah dengan kebakaran berjaya dikawal dalam tempoh 20 minit.
“Terdapat sepasang warga emas dan masing-masing seorang lelaki serta wanita dewasa berjaya diselamatkan anggota bomba.
“Mangsa mengalami sesak nafas diberikan rawatan awal oleh anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) sebelum dihantar ke Hospital Ampang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Mukhlis berkata, seramai 12 pegawai dan anggota terbabit dalam operasi berkenaan.
Beliau berkata, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.20 pagi dan punca kebakaran masih dalam siasatan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.