comscore
Tumpuan :
Nasional

Empat tren perjalanan khas sempena Aidilfitri ke Pantai Timur

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengumumkan perkhidmatan Tren Khas Ekspres Lambaian Aidilfitri ke Pantai Timur sempena sambutan Aidilfitri yang akan tiba.

Sebanyak empat perjalanan tren ekspres yang mula beroperasi dari Stesen KL Sentral ke Stesen Tumpat dan sebaliknya disediakan dengan sebanyak 1,864 tiket ditawarkan bagi perkhidmatan ini.

Menurut KTMB dalam satu kenyataan berkata, perkhidmatan ini adalah satu alternatif untuk pengguna pulang beraya ke Pantai Timur menggunakan jalan darat yang sering sesak setiap kali musim perayaan tiba.

“Initiatif ini juga adalah untuk mereka yang ingin pulang ke kampung dengan selesa, selamat dan juga dengan tambang yang berpatutan.

“Tren Khas Lambaian Aidilfitri ini akan berhenti di 16 stesen iaitu di Stesen Bandar Tasik Selatan, Kajang, Seremban, Gemas, Mentakab, Jerantut, Kuala Lipis, Gua Musang, Kuala Krai, Pasir Mas, Tanah Merah, Wakaf Bharu, Tumpat dan beberapa stesen lain,” katanya.

Terdapat dua jadual bagi tren ini. Perjalaman pertama adalah pada 19 April bermula pada 11 malam dan berakhir pada 3.53 petang manakala pada 24 April perjalanan bermula pada 10.50 malam dan akan tiba pada 3.10 petang.

Perjalanan kedua pula adalah pada 20 April bermula pada 11 malam dan akan tiba pada 3.53 petang dan 25 April 10.50 malam dan berakhir pada 3.10 petang.

Tren ini dilengkapi dengan kemudahan koc katil, koc tempat duduk premier, koc tempat duduk superior, koc buffet dan koc chillax.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook turut mengucapkan terima kasih kepada KTMB di atas initiatif ini.

“Kementerian Pengangkutan berterima kasih kepada KTMB kerana memberikan penyelesaian kepada warga Pantai Timur untuk pulang ke kampung halaman.

“Kita sedia maklum kesesakan semasa musim perayaan adalah masalah utama negara kita. Perkhidmatan ini dapat memberikan keselesaan kepada orang ramai, kanak-kanak dan warga emas,” katanya.

Tiket akan mula dijual bermula 1 April jam 10 pagi dengan harga RM55 sehingga RM 83 bagi perjalanan sehala.

Pengguna disarankan melakukan pembelian melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS) atau menerusi laman sensawang KTMB.

Loading...
Terkini